SEKUMPULAN ahli Parlimen Barisan Nasional mengadakan pertemuan dengan Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Putrajaya malam tadi yang dipercayai merupakan satu mesyuarat untuk menghalang sebarang cubaan bagi memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan susulan prestasi Pakatan Harapan yang teruk pada pilihan raya kecil Tanjung Piai.
Antara ahli Parlimen BN terbabit termasuklah bekas naib presiden Umno Hishamuddin Hussein yang terkait dengan spekulasi sejak beberapa bulan lalu berkaitan dengan Dr Mahathir dan cubaan untuk membawa ahli Parlimen Umno ke dalam Pakatan Harapan.
Mesyuarat di kediaman menteri hal ehwal ekonomi itu bermula pada pukul 9.30 malam dan berlangsung kira-kira dua jam.
Namun mereka yang meninggalkan mesyuarat berkenaan enggan menyatakan apa yang berlaku.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, terdapat 22 ahli Parlimen Umno dan lima dari PKR yang hadir pada mesyuarat berkenaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar turut dilihat memasuki kediaman timbalan presiden parti mereka itu.
Zuraida yang merupakan ahli Parlimen Ampang dikenali sebagai penyokong setia Azmin manakala Kamaruddin adalah wakil rakyat Bandar Tun Razak.
Zuraida melambai tangan kepada petugas media yang berkumpul di luar kediaman Azmin manakala Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor hanya menjawab sambil tersenyum, tiada apa pada mesyuarat berkenaan.
Sejak kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Tanjung Piai, tekanan untuk Dr Mahathir meletakkan jawatan semakin memuncak dengan beberapa pemerhati politik menyalahkan pemimpin berusia 94 tahun itu atas kekalahan berkenaan.
Selepas keputusan diumumkan, ahli politik veteran PKR Syed Husin Ali menerusi Twitter berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tahu apa yang patut beliau lakukan dan menambah tidak perlu ada penangguhan lagi untuk serahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.
“Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH khususnya Tun Dr Mahathir. Beliau harus tahu apa yang patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi,” katanya menerusi Twitter.
Beliau juga baru-baru ini berkata, perdana menteri tidak sepatutnya menangguhkan persetujuan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar. – 19 November, 2019.
Komen