RAKYAT kecewa dan mahu mengajar Pakatan Harapan (PH), kata Dr Syed Husin Ali selepas kekalahan memalukan parti gabungan kerajaan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai hari ini.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata keputusan PRK itu menunjukkan referendum jelas terhadap PH yang dipimpin oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH khususnya Tun Dr M.
“Beliau harus tahu apa yg patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi!” katanya menerusi Twitter merujuk pelan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini, Syed Husin berkata Dr Mahathir tidak wajar menangguhkan penyerahan kuasa perdana menteri kepada Anwar seperti yang dipersetujui oleh pimpinan atasan PH.
Pada Oktober, beliau menulis surat dengan dakwaan bahawa negara ini menuju ke arah kleptokrasi kroni di bawah pemerintahan Dr Mahathir.
Beliau juga menyangkal dakwaan Dr Mahathir yang kononnya bekerja 18 jam sehari.
“Apa guna bekerja 18 jam sehari apabila negara ini di ambang kehancuran? Adakah manusia berusia 94 tahun tidak makan, tidur, mandi, solat atau berehat?
“Adakah perdana menteri ketujuh ini bukan manusia?” soal Syed Husin dalam satu kenyataan pada September lalu.
Calon BN Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi berbanding calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi.
Wee menang dengan majoriti 15,086 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Wee kalah kepada calon PH, Dr Md Farid Md Rafiq dengan majoriti tipis 524 undi.
Wee juga menambah hampir 5,000 undi berbanding 20,731 undi yang diraihnya pada PRU14. – 16 November, 2019.
Komen