Marah tapis siaran bermakna tak sayang anak, kata pesaing Netflix


Mastura Malak

Ketua Pegawai Eksekutif Aflix TV Mohd Fadzil Hashim menegaskan kandungan dalam Netflix sepatutnya sesuai ditonton seisi keluarga seperti tawaran dalam Aflix. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

INDIVIDU yang marah dengan gesaan agar kandungan Netflix ditapis adalah golongan yang tidak menyayangi anak-anak, kata pesaing platform siaran dalam talian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Aflix TV Mohd Fadzil Hashim menegaskan kandungan dalam platform itu sepatutnya sesuai ditonton seisi keluarga seperti tawaran dalam platformnya.

“Yang marah sangat kenapa Netflix kena sensor tapis memang tak sayang anak-anak,” katanya yang menyokong saranan yang disebut Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham itu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, tindakan menapis kandungan Netflix sepenuhnya untuk tontonan seisi keluarga lebih baik berbanding mengadakan akaun berbeza untuk penonton.

Jelasnya, tapisan itu perlu sesuai dengan budaya masyarakat tempatan terutama nilai masyarakat Islam.

“(Jika) ibu atau bapa mahu melihat saluran Netflix di rumah, mereka kena tengok berasingan dengan anak kerana akan ada adegan yang tidak sesuai dengan nilai masyarakat…

“Sekiranya ada usaha untuk tapis kandungan tersebut, ia lebih baik. Jadi semua boleh tengok bersama-sama,” katanya yang juga pemaju kawasan pembangunan Islamik Raudhah City.

Mohd Fadzil juga hairan kerana saranan Finas untuk menapis Netflix dikaitkan dengan usaha kerjasama syarikatnya dengan lembaga itu.

“Bila semalam Finas keluarkan kenyataan nak buat penapisan kepada Netflix. Tiba-tiba kenyaataan tersebut dijadikan bahan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kononnya Finas ada agenda lain dengan Aflix.

“Saya nak tegaskan, antara Aflix dan kenyataan CEO Finas (Ahmad Idham), tiada kaitan langsung,” katanya.

Kandungan Netflix dikatakan tidak mesra keluarga. – Gambar EPA, 20 November, 2019.

Beliau bagaimanapun mengakui senada dengan saranan Ahmad Idham agar kandungan saluran dalam talian seperti Netflix ditapis sepenuhnya agar sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Malah perkara itu juga sememangnya menjadi sasaran Aflix TV untuk menyedia kandungan yang sesuai ditonton oleh semua peringkat umur, katanya.

Kenyataan awal Ahmad Idham agar kandungan siaran dalam talian ditapis itu menimbulkan spekulasi dan dikaitkan dengan pertemuannya wakil syarikat Aflix TV pada 30 September lalu.

Ahmad Idham yang juga pengarah beberapa filem memaparkan gaya hidup bohsia dan pelumba motosikal haram itu pada awalnya menggesa kerajaan untuk mengawal selia kandungan Netflix.

Saranan itu kemudiannya menerima kritikan pelbagai pihak, memaksa Ahmad Idham menjelaskan Finas tiada kuasa untuk menapis isi kandungan digital.

Pelakon tersebut seterusnya menyebut, Finas hanya merancang untuk memperbanyakkan program tempatan dan kandungan yang boleh menjana minda masyarakat.

Mengulas lanjut mengenai kontroversi itu, Mohd Fadzil berkata cadangan itu tiada kena mengena dengan Aflix TV, yang mahu memperbanyakkan kandungan bermoral.

“Mungkin isu mahu tapis kandungan daripada Netflix adalah cadangan CEO Finas, tetapi cadangan tersebut tidak ada kena mengena pun dengan Aflix,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Aflix TV Mohamad Azarul Hakim berkata langkah penapisan yang diusahakan saluran itu adalah berdasarkan saranan orang ramai.

Dakwanya, ramai ibu bapa bimbang kanak-kanak dapat mengakses kandungan yang tidak sepatutnya ditonton oleh golongan itu.

“Jadi sebab itulah , kalau sayangkan anak, pilihlah Aflix supaya tidak ada masalah kandungan yang tidak sesuai untuk dipertonton oleh kanak-kanak mahupun dewasa.

“Anak kita boleh tengok pelbagai siaran walaupun kita tidak berada bersama anak,” jelas Azarul ketika di hubungi pihak The Malaysian Insight.

Jelasnya, perkhidmatan siaran dalam talian itu akan dilancarkan pada tahun depan selepas Aflix TV berjaya menghimpun sekurang-kurangnya 7,500 judul untuk siaran.

Buat masa ini, Aflix TV baru menghimpun 3,500 siaran, katanya yang mengesahkan sedang berunding dengan Finas untuk menyiarkan filem dalam arkib lembaga itu.

Apabila siaran itu beroperasi kelak, pelanggan akan diberikan akses secara percuma untuk beberapa siaran terpilih dengan yuran bulanan pada kadar RM4 sebulan dan RM42 setahun. – 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen