Malaysia benam Indonesia 2-0 


Pemain Malaysia Muhammad Akhyar (kanan) mengasak pemain Indonesia Gavin Kwan Adsit dalam aksi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.– Gambar EPA, 19 November, 2019.

MALAYSIA mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas seteru utamanya, Indonesia dalam aksi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.

Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Harimau Malaya membuka jaringan menerusi sepakan percuma melencong Muhammad Safawi Rasid​​​ pada minit ke-29.

Safawi sekali lagi mengegarkan stadium menerusi jaringan pada minit ke-72 dengan melakukan rembatan kencang dari sudut kiri palang gol yang deras melepasi Muhammad Ridho ke dalam gawang skuad Garuda Merah Putih itu.

Indonesia mendapat peluang keemasan untuk mendapatkan gol apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Farizal menjatuhkan Febri yang berjaya melakukan larian ke dalam kotak penalti pada minit ke-82, namun Mohd Farizal bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti penyerang kelahiran Nigeria, Osas Marvellous.

Kali terakhir Indonesia mencatatkan kemenangan ke atas Malaysia di Stadium Nasional adalah kemenangan 4-1 pada separuh akhir saingan Piala AFF 2005, manakala Malaysia mencatatkan kemenangan 3-0 dan 2-0 dalam kempen Piala AFF 2010 dan 2012. – Bernama, 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen