Rundingan kos pertahanan AS-Korea Selatan temui jalan buntu


AS mendesak Korea Selatan membayar hampir AS$5 bilion tahun depan bagi membiayai perbelanjaan berkaitan latihan bersama ketenteraan. – Gambar AFP, 19 November, 2019.

KOREA Selatan dan Amerika Syarikat (AS) gagal meneruskan rundingan peringkat akhir berhubung perkongsian kos senggaraan tentera Amerika di Semenanjung Korea, di tengah-tengah Washington terus mendesak Seoul meningkatkan sumbangan, lapor agensi berita Yonhap.

Selepas rundingan selama dua hari, Kementerian Luar Korea Selatan dalam satu kenyataan mengatakan perbincangan terbaharu mengenai perkongsian kos untuk menempatkan 28,500 anggota Angkatan Tentera AS Korea (USFK) Amerika Syarikat, menemui jalan buntu. 

“Pihak AS mahu meningkatkan kos secara drastik dengan mewujudkan artikel baharu (dalam perjanjian perkongsian kos), sementara pihak kami mempertahankan kenaikan tersebut harus dipersetujui berdasarkan kerangka kerja dalam perjanjian SMA yang telah disepakati sejak 28 tahun lalu,” menurut kenyataan itu. 

SMA ialah Perjanjian Langkah-Langkah Khas (SMA) untuk perkongsian kos pertahanan.

“Dalam apa jua keadaan, pihak kami merancang melakukan yang terbaik untuk memastikan perkongsian yang adil dan munasabah,” katanya.

Laporan menyebut AS mendesak Korea Selatan membayar hampir AS$5 bilion pada tahun depan bagi membiayai perbelanjaan berkaitan latihan bersama ketenteraan serta sokongan untuk anggota keluarga USFK.

Di bawah SMA yang bakal tamat akhir tahun ini, Seoul bersetuju membayar AS$870 juta.

Sepanjang minggu lalu, kumpulan sivik di sini mengkritik Washington kerana mendesak Seoul untuk meningkatkan sumbangan meeka.

Sejak 1991, Seoul telah menanggung sebahagian kos di bawah SMA - untuk orang awam Korea yang digaji oleh USFK, bagi pembinaan fasiliti ketenteraan dalam usaha mengekalkan kesiapsiagaan kedua-dua sekutu dan bentuk sokongan lain. – Bernama, 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen