ISU peruntukan berjumlah RM1.5 juta yang habis dalam masa singkat kini menjadi buah mulut di kalangan pemimpin akar umbi parti dan pengundi kawasan Parlimen Batu.
Ia menjadi bualan apabila penyandangnya, P. Prabakaran berkeras tidak mahu mengosongkan kerusi itu bagi ditandingi semula oleh kepada bekas wakil rakyat kawasan itu, Tian Chua.
Soal perbelanjaan itu ditimbulkan pengundi Batu yang mahu pemimpin PKR itu bertanding semula untuk mempertahankan kerusi itu selepas mahkamah membebaskannya dari tuduhan.
Pengundi berkenaan memberitahu The Malaysian Insight, perbelanjaan itu perlu diperjelaskan kerana mereka mendapati ia hanya berbaki kira-kira RM20,000.
Walhal, masih ada penduduk kawasan Parlimen itu tidak dapat merasa bantuan daripada peruntukan itu, dakwa pengundi ini.
“Kami persoalkan kemana pergi duit yang banyak? Ada juga yang tidak dapat bantuan,” kata seorang penduduk tempatan yang mengaku tidak mendapat bantuan daripada Prabakaran.
Seorang pemimpin akar umbi dari cabang PKR Batu turut sangsi dengan perbelanjaan tersebut dan menuntut wakil rakyat muda itu memperjelaskannya.
Beliau mengesyaki ada perkara tidak kena dengan perbelanjaan itu dan mendakwa Prabakaran tidak menjalankan tugasnya bersama jentera PKR Batu.
“Dalam masa beberapa bulan peruntukan tinggal RM20,000. (Dalam masa) tiga bulan pertama Praba bekerja dengan cabang tetapi kemudian dia bergerak sendiri.
“Kita ada juga semak kononnya dia kata beri pada masjid dan sekolah tapi betul ke? Kalau betul tolong kemukakan bukti,” kata anggota PKR yang enggan dinamakan itu.
Baki peruntukan yang tinggal sebanyak RM20,875 itu berdasarkan satu laporan ringkasan perbelanjaan untuk 12 wakil rakyat PH di Wilayah Persekutuan.
Sumber pejabat Prabakaran turut mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa butiran tersebut benar namun menegaskan ia digunakan sepenuhnya untuk membangunkan kawasan Batu.
“Sejumlah 39 sekolah bantuan diberikan dengan masing-masing sebanyak RM10,000 hingga RM13,000.
“Ia belum masuk dengan bantuan setempat dan pembangunan lain yang digunakan sepenuhnya untuk warga Batu,” katanya yang enggan dinamakan.
Sementara itu, sumber di pejabat Prabakaran menjelaskan, peruntukan itu menyusut dengan banyak kerana dana yang disalurkan pada pertengahan Februari itu perlu dibelanjakan sebelum September.
“Selepas peruntukan digunakan laporan akan diberikan kepada kerajaan untuk diaudit. Semuanya dalam perkiraan,” katanya lagi.
Semakan The Malaysian Insight di laman Facebook rasmi Prabakaran pula mendapati ahli Parlimen itu aktif memberikan bantuan.
Antara aktiviti yang dipaparkan dalam laman itu adalah sambutan hari keluarga dan hari sukan diadakan untuk warga Batu selain perasmian bangunan futsal di kawasan setempat.
Prabakaran juga antara lain dilaporkan terlibat dengan usaha menjalankan projek tebatan banjir untuk memastikan kawasan itu bebas daripada bencana itu menjelang Mac.
Hasilnya, kawasan seperti Pasar Pekan Batu itu tidak lagi mengalami banjir dalam tempoh enam bulan lalu, menurut Prabakaran dalam satu laporan.
Selain itu, Prabakaran juga berkata beliau membantu masalah peniaga asing di pasar borong Selayang dan juga penghuni rumah panjang yang dibebani bayaran tinggi untuk skim perumahan.
Kegiatan dan perbelanjaan untuk kawasan itu mendapat perakuan seorang lagi ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, Fahmi Fadzil yang percaya Prabakaran komited sebagai wakil rakyat.
“Walaupun dia muda tapi dia komited dan tahu masalah setempat. Kita perlu beri peluang beliau berkhidmat.
“Dia turun padang dan tahu masalah rakyat,” katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang juga pengarah strategi PKR.
Kerusi Parlimen Batu mendapat perhatian apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Chua tidak pernah hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.
Keputusan pada 6 November itu memperakui keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur dan Shah Alam yang memutuskan kelayakan dan hak Chua untuk bertanding tidak terjejas.
Mahkamah memutuskan demikian ke atas Chua yang dijatuhkan denda RM2,000 dalam satu kes yang dihadapinya sebelum PRU14.
Susulan keputusan itu, 14 NGO yang bergiat di kawasan Batu mendesak Prabakaran letak jawatan pada minggu lalu bagi mengosongkan kerusi itu untuk Chua.
Prabakaran bagaimanapun berkeras untuk tidak menyerahkan semula kerusi itu kepada Chua yang mewakili Batu selama dua penggal sejak 2008.
Wakil rakyat paling muda di Malaysia itu menegaskan, beliau tidak akan mengabaikan mandat yang diberi oleh rakyat kepadanya sekerat jalan.
Ia menyebabkan timbul kemarahan pihak tertentu yang antara lain menyerang kenderaan rasmi ahli Parlimen tersebut dengan melemparkan telur.
Dalam pilihan raya umum pada Mei 2018, Prabakaran bertanding sebagai calon Bebas atas tiket PKR selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menghalang Chua bertanding. – 19 November, 2019
Komen