Selepas Pakatan tewas besar, Pemuda Bersatu Terengganu mahu Syed Saddiq muhasabah


SM Amin

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman diminta menyelesaikan segala permasalahan yang wujud dalam sayap Pemuda Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2019.

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman perlu bermuhasabah selepas Pakatan Harapan tewas dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai yang berlangsung semalam, desak Pemuda Bersatu Terengganu.

Ketuanya Syaiful Irfan Anang berkata, Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda Pakatan Harapan gagal memainkan peranannya untuk membentuk jentera yang mantap bagi menghadapi kempen pilihan raya.

“Ketua Pemuda PH tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua sayap kepada gabungan empat parti apabila gerak kerja dan mobalisasi bagi jentera Pemuda PH berada pada tahap yang sangat lemah.

“Walhal Pemuda PH seluruh Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi untuk berbakti namun kepimpinan memperlihatkan kelemahan di dalam sistem tadbir urus dan berorganisasi,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK Tanjung Piai menyaksikan Barisan Nasional berjaya merampaskan semula kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 15,086 undi selepas menewaskan calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, Wendy Subramaniam (Gerakan), Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Menurut Syaiful, Syed Saddiq juga menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan rentetan daripada hubungan dingin menteri belia dan sukan itu dengan Istana Johor.

“Teguran perlu diberikan kepada beliau kerana realitinya pada PRK sebelum ini dan kali ini PH mengalami kekalahan sangat mendukacitakan kerana rakyat Johor memilih untuk tidak mengundi PH. Ia juga kerana pelbagai isu terpalit dengan beliau yang masih tidak dapat diselesaikan terutama isu melibatkan Istana Johor.

“Umum mengetahui bahawa rakyat Johor sangat sinonim dengan ‘bangsa Johor’ yang rapat dengan kesultanan yang berperanan sebagai payung kepada agama dan bangsa,” katanya.

Hubungan dingin dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah diakui sendiri oleh Syed Saddiq sebelum ini disebabkan beberapa permintaan khusus daripada pewaris takhta kesultanan Johor itu.

Tegas Syed Saddiq ketika itu, beliau perlu meletakkan kepentingan rakyat daripada menunaikan permintaan TMJ yang bersifat politik.

Justeru itu, Syaiful mendesak Syed Saddiq segera menyelesaikan segala permasalahan yang wujud dalam Pemuda Pakatan Harapan supaya dapat bangkit semula sebagai satu pasukan yang kuat.

“Kita harus berjiwa besar dan akur kepada kekalahan ini dan sebagai pemuda, saya ingin menyeru kepada Ketua Pemuda PH supaya bermuhasabah, segera selesaikan pelbagai konflik dan segera perkasakan akar umbi dan barisan Pemuda PH.

“Ia bagi memastikan Pakatan Harapan akan bertambah kukuh, maju dan berjaya di masa akan datang demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Syed Saddiq dalam reaksinya selepas Pakatan Harapan diumumkan tewas malam tadi memohon maaf kepada belia Malaysia atas kekalahan yang disifatkan terlalu untuk diterima. – 17 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen