Syed Saddiq minta maaf Pakatan kalah di Tg Piai


Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi Twitter memohon maaf kepada belia Malaysia atas kekalahan PH pada PRK Tanjung Piai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2019.

KETUA Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf kepada belia Malaysia atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Kekalahan ini pahit untuk ditelan. Rakyat sudah bersuara.

“Suara rakyat, suara keramat. Saya mohon maaf kepada belia Malaysia atas kekurangan saya.

“Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan. Sekali lagi, minta maaf,” kata Menteri Belia dan Sukan itu menerusi Twitter.

Barisan Nasional (BN) kalah kerusi Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum ke-14 kepada calon Bersatu, arwah Dr Md Farid Md Rafik 

Namun BN menebus kekalahan itu apabila calonnya, Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar 15,086 undi untuk mengalahkan calon Bersatu Karmaine Sardini.

Kekalahan PH itu berlaku ekoran beberapa isu berbangkit yang menyebabkan kemarahan pengundi dari kalangan pelbagai masyarakat.

Pengundi Melayu dipercayai kecewa dengan bantuan untuk soal kebajikan dan petani manakala bagi masyarakat Cina, mereka kecewa dengan pengangguhan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan langkah kerajaan memperkenalkan tulisan jawi dan khat di sekolah vernakular. – 16 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen