Ketua pengarah perkhidmatan awam fokus aspek kecekapan kakitangan


Lee Chi Leong

KETIKA dakwaan terdapat “daulah terpendam” dalam perkhidmatan awam oleh menteri, ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam menggesa semua kakitangan kerajaan mengingati janji mereka untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kerajaan yang mentadbir.

Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang dilantik memegang jawatan pada September tahun lepas di bawah kerajaan baharu berkata penjawat awam mesti terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan integriti.

Menyedari terdapat ketidakcekapan dalam pentadbiran kerajaan, beliau berkata penjawat awam mesti sentiasa mengingati orang ramai, pihak yang mereka berikan khidmat dan “merasai denyut jantung rakyat”.

“Secara jujurnya, saya tidak tahu (sebarang daulah terpendam). Apabila saya membacanya, saya fikir ia hanya berkaitan dengan politik, bukan kakitangan awam,” kata Khairul kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi terdapat ketidakcekapan yang kami tangani. Kami melihatnya dalam tiga bahagian: produktiviti, kecekapan, dan integriti.

“Semua ini adalah cabaran daripada zaman lalu, dan ia masih menjadi cabaran kepada saya sebagai ketua pengarah, dan ia terus menjadi cabaran bagi ketua jabatan akan datang.”

Khairul berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan daulah terpendam oleh beberapa menteri.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menyebut mengenainya berhubung keputusan Putrajaya menarik diri daripada mengesahkan Statut Rom; Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah berkata, “pelaku daulah terpendam” mensabotaj usaha untuk meratifikasi perjanjian anti diskriminasi, sementara Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata daulah terpendam bertujuan menjejaskan kestabilan kerajaan Pakatan Harapan.

Khairul berkata, tuduhan berhubung daulah terpendam di tempat kerja dalam perkhidmatan awam perlu lebih spesifik.

Masih tidak jelas sama ada daulah terpendam yang dirujuk oleh menteri adalah sebuah organisasi, atau kelompok penjawat awam yang tidak puas hati dan pro-Barisan Nasional yang bertindak sendirian.

Empat sumber dalaman kerajaan memberitahu The Malaysian Insight apa yang mungkin dilihat sebagai usaha daulah terpendam lebih kepada masalah penyesuaian bagi penjawat awam yang biasa bekerja dalam budaya BN yang memberi ganjaran kepada kesetiaan berbanding kecekapan.

Bagi menteri yang tidak berpengalaman, mereka perlu tahu bagaimana untuk bekerja dengan penjawat awam kanan, seperti ketua setiausaha kementerian.

Ketua pengarah JPA berkata, dakwan “sabotaj atau tidak mendapat kerjasama” boleh berpunca daripada kelambatan dan ketidakcekapan dalam perkhidmatan.

“Sebab itu saya kata, anda perlu sangat spesifik. Tiada perkhidmatan kami dihentikan.

“Lebih setahun selepas peralihan (kerajaan), sistem tidak runtuh. Penjawat awam masih melaksanakannya. Rakyat masih boleh mendapatkan perkhidmatan kaunter, masih boleh memperbaharui pasport mereka, masih boleh pergi ke hospital.”

Beliau berkata penjawat awam tahu mereka sepatutnya bersikap neutral dan sebagai jentera kerajaan, mereka bertindak sebagai antara muka orang awam dengan eksekutif.

“Mereka mesti merasai degupan jantung rakyat; mereka mesti memahami majikan eksekutif mereka. Menteri akan memberikan arahan dasar; peranan mereka adalah untuk berkhidmat dan melaksanakannya, memindahkan arahan ke dalam bentuk aktiviti dan program.

Khairul berkata orang ramai tidak gembira dengan prestasi perkhidmatan awam dan berkata ia mungkin kerana “komunikasi yang terhad”.

Ini adalah satu bidang yang memerlukan peningkatan, katanya.

“Kita tidak boleh mengatakan semua penjawat awam adalah sama. Bagaimanapun, saya bersetuju dalam mana-mana organisasi, sama ada awam atau swasta, sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan.

“Kita juga tidak boleh mengatakan sektor swasta 100% cekap. Mereka juga mempunyai jurang. Tetapi kerana dalam kes ini, kami berurusan dengan orang ramai, jadi perkara kelihatan lebih menonjol. Kami sedang menanganinya.”

Katanya, penambahbaikan adalah satu proses berterusan dan cara agar untuk terus bermotivasi adalah sentiasa ingat berkhidmat kepada orang ramai. – 16 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen