Tiga tahun berlalu, mangsa banjir Kelantan putus harapan


Yasmin Ramlan

Seorang kanak-kanak berjalan di depan sebuah rumah yang dibina kerajaan persekutuan untuk mangsa banjir di Felda Aring, Gua Musang. – Gambar The The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 April, 2017.

SENYUMAN Faridah Ya tidak lekang dari bibirnya walaupun beliau sekeluarga menjangkakan akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tidak lama lagi di rumah kayu buatan sendiri untuk tahun ketiga.

Faridah 45, ialah antara mangsa banjir di Kelantan pada 2014 dan keluarganya antara 73 rumah di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang yang masih tidak berjaya mendapat penempatan baharu.

Faridah Ya, antara mangsa banjir 2014 di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang yang masih belum menerima rumah baharu walaupun namanya tersenarai sebagai penerima. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Abd Halim, 23 April, 2017.

Rumah satu bilik yang kelihatan seperti pondok usang itu sangat daif, namun mereka sekeluarga tiada pilihan selain membina rumah sendiri di atas tapak rumah sebelum ini, iaitu di atas tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Saya dan suami tiada pilihan. Sudah biasa tinggal di sini bersama enam anak berusia 18 tahun hingga lima bulan. Kami terpaksa kutip lebihan kayu rumah kami yang hanyut ketika banjir 2014, dan bina rumah sendiri sementara menunggu rumah baharu.

“Nama kami sudah ada dalam senarai, tetapi sampai sekarang rumah belum ada lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Situasi sama dihadapi keluarga Mohd Shaffien Mahmod yang juga mangsa banjir apabila mereka masih menunggu rumah baharu tanpa mengetahui tarikh sebenar dapat berpindah ke rumah lebih selesa.

Namanya tersenarai sebagai penerima penempatan baharu tetapi sehingga kini terpaksa tinggal di rumah kayu buatan sendiri bersama isteri dan lima anaknya yang semua masih bersekolah.

“Saya tak tahu bila siap (rumah baharu), mereka (kerajaan negeri) tidak beritahu bila. Kami nak sewa rumah tak mampu jadi binalah rumah sendiri walaupun tiada bilik dan satu keluarga tidur di ruang tamu.

“Kami sudah biasa duduk dalam keadaan sebegini tetapi kami inginkan rumah baharu,” kata Shaffien kepada The Malaysian Insight yang merupakan seorang tukang rumah.

Di Kampung Aring 2 pula, Syuhaifeza Mohd Zin, 30, ibu tunggal dua anak antara 10 daripada 23 rumah yang gagal mendapatkan penempatan baharu sehingga kini sejak banjir 2014.

Katanya, sebagai prosedur untuk mendapatkan rumah, mangsa banjir yang rumahnya dihanyutkan banjir sepenuhnya akan diberi keutamaan.

Tetapi, Syuhaifeza masih tidak tahu kenapa beliau masih tidak mendapat penempatan baharu yang dijanjikan itu walaupun namanya sudah berada dalam senarai.

“Saya ada laporan mengatakan rumah saya sudah hanyut dan dalam senarai menunggu. Penduduk di kawasan kampung lain semua sudah dapat rumah, ada yang rumah hanya terjejas sedikit tetapi dapat juga rumah tetapi saya tidak.

“Saya dan lebihan mangsa di Kampung Aring 2 yang masih tiada tempat tinggal terpaksa menumpang di serumah saudara-mara di sekitar sini,” kata Syuhaifeza.

Syuhaifeza yang kini menetap bersama keluarga kakaknya di kawasan itu terpaksa berhimmpit di dalam Rumah Kekal Baharu (RKB) tiga bilik yang dibina kerajaan persekutuan bersama 14 ahli keluarganya yang lain.

Seorang kanak-kanak duduk di depan rumahnya di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, di mana kebanyakan mangsa banjir 2014 terpaksa duduk dalam keadaan daif selepas rumah hanyut dan rumah baharu dijanjikan masih belum diterima. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Abd Halim, 23 April, 2017.

Banjir 2014 yang dikenali sebagai bah kuning paling teruk dalam sejarah selepas banjir bah besar 1967 sehingga menyebabkan lebih 100,000 orang di Kelantan terjejas.

Dalam tragedi pada penghujung Disember 2014 itu, semua kawasan di Kelantan dinaiki air, kecuali Bachok dan Pasir Puteh saja yang hanya terjejas sedikit akibat banjir.

Kawasan Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Mas mengalami banjir teruk akibat bencana itu dengan mengalami kerosakan yang besar.

Kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir PAS dan kerajaan persekutuan mengambil keputusan untuk bertanggungjawab dengan mengagihkan kawasan yang terjejas sesama mereka bagi menyediakan penempatan baharu untuk mangsa banjir.

Kerajaan negeri bersetuju menyediakan penempatan baharu bagi mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi, sementara Kampung Aring di bawah tanggungjawab kerajaan pembangkang negeri, Barisan Nasional (BN).

Pihak ambil kesempatan

Adun BN di kawasan itu, Adun Paloh Datuk Norzula Md Piah berkata isu di Kampung Aring 2 berlaku kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mendapatkan rumah baharu.

“Tidak semua di antara mereka layak, ada yang rumahnya masih boleh dibaiki tetapi mahukan rumah baharu. Ada yang rumah tidak ditenggelami air pun hendak rumah juga.

“Ada satu keluarga layak menerima tiga rumah kerana keluarga mereka sangat besar, tinggal bersama anak-beranak, menantu dan cucu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nozula berkata isu timbul apabila ada campur tangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) PAS di kawasan yang sepatutnya berada di bawah tanggungjawab BN.

Seorang kanak-kanak berdiri di dalam rumahnya yang dibina kerajaan persekutuan untuk mangsa banjir di Felda Aring, Gua Musang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 April, 2017.

“Kawasan Aring 2 sepatutnya di bawah tanggungjawab kami, tapi mereka (PAS) sibuk pilih nama orang dia dulu untuk dapatkan rumah.

“Kita seboleh-bolehnya hendak selesaikan semula. Kadang-kadang tidak mampu hendak layan,” katanya.

Nozula berkata isu di Kampung Limau Kasturi pula timbul apabila kerajaan negeri tidak mampu membiayai kos prasarana menyediakan penempatan baharu untuk lebihan mangsa banjir.

Katanya, kerajaan pusat sudah memberikan bantuan RM3.7 juta kepada kerajaan negeri Kelantan bagi menyediakan tapak rumah.

Namun, jumlah itu dianggarkan hanya mencukupi untuk menampung 40 rumah.

“Kerajaan PAS tidak bersungguh-sungguh untuk bina rumah. (Kata) nak buat tapi tak buat-buat (rumah). Harapkan orang (pihak) lain tolong dia,” katanya.

Menurut data Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 31 Disember 2014 rekod menyatakan di semua kawasan, seramai 37,499 penduduk berpindah daripada 8,416 keluarga di 146 pusat pemindahan.

Pada 23 Disember, kawasan Gua Musang dan Kuala Krai mencatatkan jumlah penduduk berpindah meningkat mendadak kepada 5,800 orang.

Berdasarkan laporan Ketua Jajahan pada 15 Januari 2015, seperti pengumuman yang dibuat kerajaan negeri Kelantan, sebanyak 2,374 rumah musnah 100%.

Jumlah terbesar ialah di Kuala Krai sebanyak 1,850 rumah, Gua Musang (406), Machang (51), Tanah Merah (38), Kota Baru (18), Tumpat (11) dan selebihnya lagi di daerah lain.

Berdasarkan jumlah kerosakan rumah itu, menteri besar Kelantan mengumumkan RM52.5 juta diperlukan untuk pembinaan semula dan membaikinya.

Cubaan The Malaysian Insight menghubungi Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood hanya dijawab dengan teks pesanan; “Saya tiada di Kelantan, saya sedang bercuti.”

Pengasas badan bukan kerajaan The Third Force Dr Raja Shamri Raja Husin yang terlibat dalam membantu mangsa banjir di kawasan itu berkata, rumah baharu biasanya akan diberikan keutamaan kepada mereka yang mempunyai geran tanah sendiri.

Bagaimanapun katanya, kerajaan persekutuan atau negeri sewajarnya menyediakan penempatan dan tanah penempatan kepada mangsa walaupun mereka menetap di tanah rizab.

“Mereka dinafikan hak untuk mendapat rumah kerana tapak rumah yang hanyut atau rosak akibat banjir itu ialah tanah rizab walaupun mereka sudah tinggal di situ berpuluh-puluh tahun.

“Sepatutnya wartakan mana-mana lokasi dan buat penempatan baharu, iaitu pemindahan. Saya sudah lama syorkan perkara itu.

“Kalau di Kuala Lumpur, jika kerajaan hendak mansuhkan setinggan, PPR (Program Perumahan Rakyat) akan diwujudkan, tapi di sini tidak,” katanya.

Beliau berkata kemungkinan juga mereka yang tersenarai untuk penempatan baharu tetapi masih menunggu sehingga kini kerana kerajaan negeri dan persekutuan sudah tiada bajet lagi untuk peruntukan rumah mereka. – 23 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen