MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam meluluskan siasatan penuh ke atas dakwaan jenayah kemanusiaan dilakukan Myanmar terhadap Rohingya, ketika negara Asia Tenggara itu berdepan tekanan perundangan seluruh dunia.
Hakim menyokong permohonan pendakwaan untuk menyiasat dakwaan jenayah kemanusiaan dan genosid dalam operasi ketenteraan dilakukan Myanmar pada 2017 terhadap kumpulan minoriti Islam itu.
Keputusan ICC itu dibuat sehari selepas bekas ikon demokrasi Aung San Suu Kyi dinamakan dalam saman difailkan Argentina berkaitan jenayah perang terhadap Rohingya dan Myanmar pula berdepan saman genosid perang di mahkamah tertinggi PBB itu.
Lebih daripada 740,000 orang Rohingya terpaksa melarikan diri ke sempadan Bangladesh, dalam keganasan yang dianggap penyiasat PBB adalah genosid.
ICC berpangkalan di The Hague ditubuhkan pada 2002 untuk membicarakan jenayah terburuk dunia, berkata ia sudah “membenarkan pendakwaan untuk meneruskan siasatan ke atas dakwaan jenayah menurut bidang kuasa ICC” berkaitan Myanmar.
Ini termasuklah dakwaan “tindakan keganasan sistematik”, jenayah kemanusiaan dan pembunuhan kerana kaum atau agama terhadap Rohingya, katanya.
Myanmar berulang kali menafikan dakwaan ia melakukan pembersihan etnik.
Myanmar bukanlah penandatangan ICC tetapi mahkamah memutuskan tahun lepas ia mempunyai bidang kuasa siasatan terhadap Rohingya kerana Bangladesh yang menempatkan pelarian itu adalah ahlinya.
Ketua Pendakwa Raya ICC Fatou Bensouda dibenarkan memulakan siasatan awal terhadap Myanmar pada September 2018, dan secara rasmi memohon memulakan siasatan penuh pada Julai lepas.
Isnin lalu, Gambia membuka kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahkamah tinggi PBB yang juga di The Hague, menuduh Myanmar melakukan genosid.
Pendengaran pertama kes itu yang difailkan Gambia bagi pihak 57 negara ahli Organisasi Kerjasama Islam (OIC) akan bermula pada Disember ini.
Rabu lepas, Suu Kyi antara pegawai atasan Myanmar dinamakan dalam saman difailkan Argentina berkaitan jenayah perang terhadap Rohingya, pemenang Hadiah Nobel Keamanan pertama berdepan situasi itu.
Saman itu menuntut pegawai tinggi tentera dan politik- termasuk Jeneral Tentera Min Aung Hlaing dan Suu Kyi- diheret ke muka pengadilan kerana kekejaman terhadap Rohingya.
Penyiasat PBB tahun lepas menyifatkan operasi tentera Myanmar pada 2017 adalah genosid dan mendesak Majlis Keselamatan PBB merujuk kes itu kepada ICC.
Ia tidak lagi diperlukan kerana ICC kini membuka siasatan rasmi.
Myanmar masih belum mengulas tiga kes difailkan di mahkamah dunia terhadapnya.
Negara itu bertegas menggunakan jawatankuasa siasatan sendiri, tindakan yang dikecam pemerhati dan pengkritik.
Rohingya tidak banyak mendapat simpati dalam kalangan rakyat Myanmar kerana ramai menyokong operasi tentera 2017, terpengaruh dengan naratif rasmi ia dilakukan untuk menghapuskan pengganas dan minoriti Islam itu bukan warganegaranya. – AFP, 15 November, 2019.
Komen