Suu Kyi didakwa di mahkamah kerana jenayah terhadap Rohingya


Bekas ikon demokrasi Aung San Suu Kyi antara pegawai kanan Myanmar yang dinamakan dalam saman difailkan di Argentina kerana jenayah terhadap Muslim Rohingya. – Gambar EPA, 14 November, 2019.

BEKAS ikon demokrasi Aung San Suu Kyi antara pegawai kanan Myanmar yang dinamakan dalam saman difailkan di Argentina kerana jenayah terhadap Muslim Rohingya.

Ini kali pertama pemenang anugerah Nobel itu disasarkan secara undang-undang berhubung krisis itu.

Kumpulan hak asasi manusia Rohingya dan Amerika Latin memfailkan tuntutan saman di Argentina di bawah prinsip “bidang kuasa universal”, satu konsep undang-undang yang diguna pakai dalam perundangan banyak negara.

Ia termasuk akta membabitkan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan – yang teruk dan tidak khusus bagi sesebuah negara saja dan boleh dibicarakan di mana-mana.

“Aduan ini memohon hukuman jenayah terhadap pelaku, mereka yang subahat dan menutup genosid itu. Kami melakukannya menerusi Argentina kerana mereka tidak ada kemungkinan untuk memfailkan aduan jenayah di tempat lain,” kata peguam Tomas Ojea.

Tuntutan saman itu mendesak pegawai tinggi tentera dan pemimpin politik – termasuk ketua tentera Min Aung Hlaing dan pemimpin sivil Suu Kyi – dibawa ke muka pengadilan berhubung ancaman yang terpaksa dihadapi masyarakat minoriti Islam Rohingya.

“Selama berdekad, pihak berkuasa Myanmar cuba menghapuskan kami, memaksa kami keluar dari negara asal kami dan membunuh kami,” kata Presiden Persatuan Rohingya Burma UK (BROUK) Tun Khin.

Mahkamah Argentina mengambil beberapa kes bidang kuasa universal sebelum ini, termasuk berkaitan pemerintahan bekas diktator Francisco Franco di Sepanyol dan gerakan Falun Gong di China.

Myanmar berdepan semakin banyak tekanan guaman di mahkamah di seluruh dunia susulan kekerasan negara itu terhadap Rohingya pada 2017. – AFP, 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen