MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan rayuan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli untuk mengetepikan sabitan bersalah ke atasnya kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia).
Turut dilepas dan dibebaskan adalah bekas kerani Public Bank Johari Mohamad.
Hakim Mohd Yazid Mustafa juga membatalkan hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan ke atas mereka sebelum ini.
Pada 7 Februari 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati Rafizi bersalah kerana mendedahkan penyata baki empat akaun bank berkaitan NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Pengerusinya Dr Mohamad Salleh Ismail dan Agroscience Industries Sdn Bhd kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan wartawan The Star Erle Martin Carvalho.
Kesalahan itu dibuat di Ibu Pejabat PKR, Mechant Square, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.
Johari didakwa di bawah Seksyen 112 (1) (c) Bafia kerana bersubahat dengan Rafizi untuk melakukan kesalahan itu pada tarikh dan tempat yang sama.
Dalam penghakiman dikeluarkan pagi tadi, Hakim Yazid berkata permohonan Rafizi dibenarkan kerana pihak pendakwaan gagal mengeluarkan dokumen asal sebagai bukti perbicaraan, yang diperlukan menurut Seksyen 61 Akta Keterangan.
Bekas ahli Parlimen Pandan itu memberitahu pemberita di mahkamah hari ini yang beliau tidak berminat untuk aktif semula dalam politik pada masa ini.
“Saya tidak berminat untuk memegang jawatan politik seperti sebelum ini. Saya juga tidak berminat dengan mana-mana jawatan kerajaan.
“Ramai tidak faham yang politik akan mengambil masa dan tenaga daripada bersama keluarga anda,” katanya sebagai dilaporkan media.
“Untuk tiga atau empat tahun akan datang, saya mahu menjadi orang biasa.”
Beliau juga berkata akan mempertimbangkan mengenainya apabila tiba masanya ketika ditanya sama ada Presiden PKR Anwar Ibrahim ada meminta beliau kembali ke dalam bidang politik.
Ekoran sabitan dan hukuman penjara sebelum oleh Mahkamah Sesyen yang diterimanya sebelum ini, beliau memilih tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.
Beliau cuba mencabar Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bagi jawatan nombor dua parti tahun lepas tetapi gagal. Rafizi kemudiannya dilantik sebagai naib presiden parti. – 15 November, 2019.
Komen