Rayuan ketepi hukuman penjara ditangguh kerana Rafizi keracunan makanan


Diyana Ibrahim

Peguam Rafizi Ramli, Ahmad Nizam Hamid (kiri) memaklumkan perkara itu kepada media di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 September, 2019.

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli keracunan makanan sehingga perbicaraan kes rayuan untuk mengetepikan hukuman penjara 30 bulan kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) ditangguhkan. 

Perkara itu dimaklumkan peguam belanya Ahmad Nizam Hamid kepada Hakim Yazid Mustapa di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Menurut Ahmad Nizam hakim telah menetapkan perbicaraan kes rayuan itu didengar semula pada 24 Oktober ini.

“Semalam saya dimaklumkan oleh Rafizi, beliau mengalami keracunan makanan.

“Hari ini (perbicaraan) ditangguhkan kerana beliau tidak dapat hadir dan akan dibicarakan semula pada 24 Oktober, jam 2.30 petang,” katanya kepada media.

Tambahnya, sepanjang menjadi peguam Rafizi, ini merupakan pertama kali anak guamnya gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah kerana sakit.

Pada Februari 2018, Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukumkan penjara 30 bulan kepada Rafizi kerana didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan Pengerusinya Dr Mohamad Salleh Ismail.

Seorang lagi tertuduh yang juga bekas kerani bank, Johari Mohamad,47, turut dijatuhi hukuman sama atas dakwaan bersubahat dengan Rafizi.

Mereka dituduh mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Salleh.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman ke atas mereka hingga keputusan rayuan dengan kos ikat jamin RM15,000 seorang.

Rafizi sebelum ini mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank itu kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum dibawah Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen