Pameran Dot, Dot, Dot


Hasmi Hashim

Pameran “Dot,Dot,Dot” menampilkan tiga pelukis Samsuddin Lappo, Zulkiflee Zainul Abidin dan Khairina Khairuddin kini sedang berlangsung di Publika Gallery Mall, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2017.

TIGA pelukis, tiga gaya. Pameran mereka bertajuk “Dot, Dot, Dot.”

Mereka sekelas. Dulu. Di UiTM, Shah Alam. Dekat sekali dengan saya — ketika ketiganya di tahun satu Jabatan Seni Halus, saya di tahun akhir. Selalu disebut oleh mantan pensyarah, juga seorang pelukis, Awang Damit, “ini adalah kelas terbaik pernah dikeluarkan oleh Jabatan Seni Halus.”

Samsuddin Lappo, Zulkiflee Zainul Abidin dan Khairina Khairuddin. Tiga nama ini adalah antara pendiri kumpulan pelukis “Di Kala Jingga”. Begitulah semangat untuk mewarnai kanvas seni lukis kebangsaan apabila tamat pengajian, Samsuddin, misalnya, berhenti kerja sebagai cikgu.

Berpindah ke Kuala Lumpur. Bercakap dengan bapanya, dia mahu menjadi pelukis. Apabila sang bapa ragu, dia menjawab bahawa anak ustaz Radjikin, iaitu Bayu Utomo boleh hidup sebagai pelukis. Mengapa tidak dia?

Samsuddin, bapanya, ustaz Radjikin dan Bayu sekampung. Berasal dari Tawau, Sabah.

Disusuli oleh Zulkiflee. Asal Alor Setar, Kedah. Loghat Kedahnya kuat. Dia seorang yang senang “solo”. Hanya boleh berkawan pusing-pusing dengan kawan-kawan sekelas di UiTM. Rasanya bukan kerana dia tak mahu, tetapi apakah yang lebih mustahak selain cita-cita — seperti Samsuddin — mahu menjadi pelukis. Tak ada kelompok dan manusia lain yang lebih penting daripada sesiapa yang boleh membawanya menjadi pelukis. Itu sahaja.

Dari Kedah Zulkiflee menemukan beberapa nama pelukis yang lebih awal darinya. Besar-besar dan bukan calang-calang. Dari Amron Omar atau Zulkifli Yusuff, misalnya. Nama-nama itu barangkali memberi keyakinan bahawa dia juga boleh. Walaupun secara perwatakan, Zulkiflee penyenyap.

Di antara mereka, Khairina Khairuddin itu anak bandar. Dia berasal daripada Manjalara, Kuala Lumpur. Mendengar hampir semua lagu-lagu Inggeris. Tidak seperti Zulkiflee atau Samsuddin.

Tidak mudah jadi pelukis. Lebih susah kalau seorang perempuan yang mahu menjadi pelukis. Khairina kuatkan juga hatinya. Dia menajamkan bukan sahaja kebolehan teknikal, tetapi juga pemikiran sebagai pengisian atau idea di dalam karya. Begitu selepas berkahwin, Khairina tetap kental dengan satu tekad sebagai pelukis. Bersama kawan-kawannya yang lain.

Mereka mahu jadi pelukis

Pameran “Dot, Dot, Dot” di Publika minggu ini hanyalah pameran kecil. Mungkin tak diberi perhatian ramai peminat seni lukis Malaysia. Setiap seorang hanya mempamer satu karya sahaja. Berbahagi ruang. Sementara nama ketiga-tiga mereka mula masuk ke dalam daftar pelukis Malaysia selepas beberapa kali sebelum ini mereka bersama membuat pameran. Sama ada secara berkumpulan. Atau, sendiri-sendiri.

Walaupun semuanya lebih dikenali sebagai pencatan, tapi dalam “Dot, Dot, Dot”, mereka mempersembahkan karya “installation”. “Installation” itu sendiri cukup susah diterjemah ke dalam bahasa Melayu, kecuali kalau kita mahu menyebutnya sebagai “pemasangan”. Karya Khairina terinspirasi daripada kertas-kertas iklan yang selalu tertampal di tempat-tempat awam.

Macam di dinding-dinding cerok gedung beli-belah atau deret kedai-kedai. Dekat pondok-pondok telefon. Pada kotak-kotak elektrik. Di situ, semua mahu menjual sesuatu. Daripada pinjaman wang ah long, bilik sewa sampailah rumah-rumah urut yang sebenarnya menawarkan khidmat seks dalam bilik-biliknya yang berdinding papan lapis.

Terasa kuat ada kritikan politik. Setiap kertas memang dia tuliskan “1M” yang membawa maksud “1Malaysia”. Apa kejadahnya lagi kalau bukan isu politik dan sosial dengan tanda “1Malaysia” itu digunakan pada semua ‘iklan’ yang ditampal? – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2017.

Menuliskan kembali setiap iklan kepada isu-isu yang hendak dia bawa. Pada kertas pelbagai warna yang dia tampal pada dindin galeri, dia bubuhkan sekali pada setiap halaman kertas keratan yang tertulis “setuju” atau “tidak”. Kebebasan memilih di antara keduanya.

Terasa kuat ada kritikan politik. Setiap kertas memang dia tuliskan “1M” yang membawa maksud “1Malaysia”. Apa kejadahnya lagi kalau bukan isu politik dan sosial dengan tanda “1Malaysia” itu digunakan pada semua ‘iklan’ yang ditampal?

Dalam karya sama, ada dua kotak yang diletakkan. Apabila kotak itu dibuka sebab berpintu, di dalamnya tak ada apa kecuali cermin yang mencermin sesiapa pun yang membuka pintunya. Agak-agak setinggi orang jualah saiz kota itu. Di sinilah kritik Khairina bermula dan seperti berkata, “engkau adalah apa yang engkau lihat.”

Karya Khairina itu diletakkan dekat dengan karya Samsuddin. Ada juraian seperti tali. Dalam satu sentimeter setiap helai. Warnanya agak seperti warna ketanahan.

Di atas setiap tali-temali dituliskan huruf-huruf yang hari ini tidak dikenal orang. Lebih-lebih lagi orang di kota sini. Seperti kod rahsia. Maka, kita akan lihat, bagi setiap orang yang melihat karya itu, dari seorang yang boleh membaca, menjadi seorang yang buta huruf! Buta kayu akibat telah terlalu jauh dengan masa lalu.

Tidak lain pada tali temali itu adalah huruf-huruf klasik bahasa Bugis. Kitab besar kaum Bugis, “Sulappa Eppa”, adalah barang puisi yang ditulis ke bawah. Samsuddin telah mengambil sebuah puisi kuno. Dituliskan kembali.

Di depan karya Samsuddin, kau tidak akan mengetahui apa-apa, tidak akan dapat membaca apa-apa, kecuali bila pulang nanti, kau merasakan ada pesan masa lalu yang terlupakan. Tajuk karya Samsuddin, “Aksara Lontara”.

Mujur karya Zulkiflee tergantung. Mujur juga ada mentol-mentol dari bentukan logo Umno yang dibikin jadi lampu hiasan gantung. Ada dua buah. Dihiaskan bersama manik dan kristal-kristal. Menjadikan logo itu cantik sekali. Sesuai digantung di sebuah rumah besar. Rumah orang kaya-kaya selalunya. Rumah bangsa yang berjaya.

Di buatnya logo Umno elok-elok — kerana eloknya sesebuah parti politik, apabila dasar parti dibuatkan elok-elok oleh pendirinya. Umno, kita tahu sebuah parti Melayu. Berdiri pada 1946. Sebelum merdeka. Pada ketika itu, negeri ini bernama Tanah Melayu.

Di luar karya Zulkiflee yang menyergah pertanyaan apakah terlalu bodohnya pendiri Umno, misalnya membikin sebuah parti perkauman, atau tak ada istilah perkauman pada 1946 ketika naratif Tanah Melayu adalah didiami orang Melayu? Dua karya Zulkiflee dengan dua tajuk iaitu “The Chandelier” dan “The End Lightenment”.

Tiga pelukis, tiga gaya — pameran kecil yang sederhana, tapi sempat mencubit kulit kita untuk memahami darah-daging bangsa. – 25 Oktober, 2017.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen