Pesan Dr M kepada pengundi Tanjung Piai – Jangan undi sebab marah


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam ceramahnya di Tanjung Piai semalam meminta pengundi jangan buat keputusan ikut perasaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad yang turun berkempen di Tanjung Piai semalam meninggalkan satu pesanan kepada pengundi di kawasan parlimen itu yang akan mengundi pada Sabtu ini: Jangan buat keputusan ikut perasaan.

Dr Mahathir mengaku selepas jadi perdana menteri untuk kali kedua, beliau bukan saja tidak dapat memenuhi segala janji yang dibuat sebelum pilihan raya tetapi pada masa sama, rakyat menuntut beliau melakukan lebih daripada itu.

“Sebab itu kita kena berhati-hati dalam pilihan raya. Kalau tidak, ada yang timbul perasaan benci dan marah.

“Kemudian kita undi bukan untuk mendapat kerajaan yang baik tetapi kerana marah dan balasan kepada orang yang kononnya buat perkara tidak baik walaupun tuduhan-tuduhan itu tidak berasas sama sekali,” katanya dalam ceramah perdana Pakatan Harapan di Kukup Laut malam tadi.

Kelmarin, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata PH sedang berdepan defisit sokongan rakyat di Tanjung Piai.

Katanya, hasil taklimat jentera parti selepas kempen sejak 2 November lalu, pengundi dikesan tidak mahu mengundi PH semata-mata kerana mahu memberi pengajaran kepada kerajaan yang dianggap gagal menyelesaikan masalah rakyat.

Menurut Dr Mahathir, walaupun rakyat ada kuasa untuk memilih kerajaan, kuasa itu perlulah dilaksanakan dengan menimbang realiti masalah negara.

“Kalau kita tidak ambil berat masalah dalam negara… tempat kita, maka mereka yang tidak berfikiran waras akan terus jadi pemerintah dan kita jadi mangsa,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan PH mewarisi masalah peninggalan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan ia sukar mentadbir negara dengan baik seperti yang rakyat harapkan.

“Bukan mudah untuk perbaiki kesakitan yang dirasai oleh negara sekarang ini. Sama seperti penyakit teruk, bukan mudah untuk diubati dan demikian juga dengan negara.

“Kalau kita diberi masa hingga lima tahun, pastinya sakit-sakit ini boleh dipulihkan semula,” katanya.

Selain mendengar ceramah Dr Mahathir malam tadi, hadirin juga diedarkan dengan sepucuk surat terbuka perdana menteri kepada pengundi Tanjung Piai.

Dalam surat itu, Dr Mahathir antara lain meminta pengundi menolak mereka yang menyokong politik perkauman yang sempit.

Katanya, adalah mustahil sekiranya semua kaum di negara ini merasakan masing-masing mereka tidak dilayan dengan baik oleh kerajaan.

“Dua perkara ini tidak boleh berlaku dalam satu masa yang sama dengan kerajaan yang sama. Jika orang Melayu merasa bahawa kerajaan ini gagal mempertahankan kepentingan Melayu, maka orang bukan Melayu seharusnya rasa puas hati.

“Dan jika orang bukan Melayu merasa tidak puas hati dengan kerajaan ini kerana dikatakan tidak mempertahankan kepentingan mereka, seharusnya orang Melayu merasa puas kerana mendapat kehendak mereka,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyat PH, Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pengundian pada 16 November ini ditentukan antara enam calon dari PH, MCA-BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas. – 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen