Dr Mahathir gesa pengundi Tg Piai tolak politik perkauman 


Chan Kok Leong

Seorang pengundi di Tanjung Piai membaca surat yang dituis oleh Dr Mahathir Mohamad kepada pengundi di kawasan Parlimen Johor itu.– Gambar The Malaysian Insight, 13 November, 2019.

PENGUNDI di Tanjung Piai tidak patut mengundi mereka yang menyokong politik perkauman sempit, kata Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dalam satu surat kepada pengundi di kawasan Parlimen itu hari ini.

Dengan berbaki dua hari lagi untuk berkempen, perdana menteri menggesa pengundi untuk ingat kembali bagaimana negara membangun dari awal penubuhannya kerana semangat kerjasama antara pemimpin yang dari dulunya berbilang kaum.

“Semangat dan sikap ini turut dihayati oleh rakyat dan ini telah membuat rakyat Malaysia bersama-sama berusaha menaikkan nama negara.

“Semangat inilah yang cuba dikembalikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dan ia tidak akan berjaya jika rakyat terpengaruh dengan pendekatan-pendekatan ekstrem yang tidak menghiraukan perpaduan di antara rakyat.”

Dr Mahathir bagaimanapun tidak menyatakan Barisan Nasional dan PAS, yang menggunakan isu perkauman untuk menyerang PH.

Namun beliau memberi peringatan “permainan politik perkauman ini didalangi oleh mereka yang terdesak kerana berhadapan dengan tindakan undang-undang akibat ketamakan dan keangkuhan mereka ketika berkuasa”.

Beliau berkata, kumpulan ini akan menghasut orang Melayu bahawa pemimpin PH menggadai kepentingan mereka kepada bukan Melayu.

“Apabila mereka menemui orang bukan Melayu mereka menghasut bahawa pemimpin bukan Melayu di dalam kerajaan telah hilang perjuangan mereka kerana menjaga kedudukan.

“Akibatnya, orang Melayu merasa masa depan mereka tidak terjamin dengan kerajaan ini. Di masa yang sama orang bukan Melayu turut tidak puas hati dengan ahli-ahli kerajaan bukan Melayu kerana dituduh membelakangkan kepentingan mereka.

“Dua perkara ini tidak boleh berlaku di dalam satu masa yang sama dengan kerajaan yang sama. Jika orang Melayu merasa bahawa kerajaan ini gagal mempertahankan kepentingan Melayu, maka orang bukan Melayu seharusnya rasa puas hati.

“Dan jika orang bukan Melayu merasa tidak puas hati dengan kerajaan ini kerana dikatakan tidak mempertahankan kepentingan mereka, seharusnya orang Melayu merasa puas kerana mendapat kehendak mereka.”

Dr Mahathir berkata, tidak ada kumpulan yang puas hati kerana kerajaan ini bertindak di atas dasar konsensus apabila membuat keputusan.

“Ini bermakna setiap kepentingan rakyat di ambil kira sebelum sesuatu keputusan dibuat. Apabila kita membuat keputusan dengan cara yang demikian setiap kaum dan kumpulan tidak merasa puas hati sepenuhnya.”

Dalam surat tiga halaman itu, Dr Mahathir mengakui kerajaan PH masih berdepan masalah walaupun sudah 18 bulan berkuasa.

“Dalam tempoh ini kita telah melalui satu tempoh sukar untuk mengembalikan negara ke atas landasan yang betul dan memperbaiki kerosakan-kerosakan lalu yang begitu teruk.

“Memang benar kita tidak boleh selalu menyalahkan kerajaan terdahulu di dalam usaha memajukan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat. Di masa yang sama sudah pasti rakyat yang mengikuti perkembangan kes-kes di mahkamah akan menyedari bahawa kerosakan yang berlaku akibat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa hampir menjahanamkan negara.”

Dr Mahathir berkata PH akan memastikan amalan rasuah tidak akan berulang dan pemimpin tidak akan berpeluang untuk mengkayakan diri mereka sendiri tanpa takut dengan hukuman.

Beliau turut berharap pengundi di Tanjung Piai akan mengundi calon PH Karmaine Sardini untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan Parlimen itu.

“Dalam lain perkataan Haji Karmaine merupakan calon yang paling baik untuk meneruskan pembangunan dan memastikan kesinambungan kemajuan Tanjung Piai,” kata Dr Mahathir.

Karmaine dari Bersatu akan berdepan pertandingan enam penjuru dengan calon dari MCA-BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas. – 13 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen