Mengenang sukarnya masa silam, Dr Wan Azizah menangis


Melati A. Jalil

Situasi yang jarang berlaku, Presiden PH dan PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menangis mengenangkan masa sukar 1998/99 untuk keluarga dan dirinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Oktober, 2017.

PRESIDEN Pakatan Harapan (PH) Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat mengawal emosinya, situasi yang sangat jarang berlaku pada sebuah forum yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

“Pada 1999 ketika saya pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum, saya adalah isteri ahli politik, bukannya ahli politik.

“Apa sahaja tragedi yang menimpa keluarga saya, kami jadikan ia titik mula untuk menyedari potensi kami.

“Kerana itulah saya fikir kita perlu dekati setiap orang yang mahukan Malaysia dan masa depan yang lebih baik, sesuatu yang kita boleh bayar (jasa) negara. Itulah yang menyebabkan saya teruskan perjuangan ini,” kata Dr Wan Azizah pada forum “3-cornered fight: a win for Pakatan”.

Presiden PKR itu yang ditarik masuk ke dalam arena politik selepas suaminya, Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 1999 berkata cabaran utama PH adalah untuk menyakinkan pengundi untuk mengundi pembangkang walaupun wujud perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

“Saya baru ingat banyak perkara berlaku dalam hidup saya. Ada beberapa perkara yang saya boleh tanggung tetapi ada yang saya tak boleh.

“Saya minta maaf saya emosional, saya hanya seorang ibu, saya tengok anak-anak saya dan saya mahu anak-anak kita ada masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sebelum itu Dr Wan Azizah mengatakan halangan utama untuk Pakatan Harapan adalah persepsi rakyat seperti pembentukan kerajaan dan menjadi pakatan yang kuat selepas apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat.

“Kita perlu atasi masalah ini, bagaimana kita meraih kembali keyakinan pengundi? Adakah pengundi cukup yakin untuk beri kita undi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Pakatan Rakyat bubar selepas PAS dan DAP memutuskan kerjasama pada Julai 2015. PKR, DAP dan parti serpihan PAS, Amanah kemudian membentuk Pakatan Harapan yang turut disertai Bersatu kemudiannya. – 22 Oktober, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen