MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu mayat bekas CEO Cradle Fund Nazrin Hassan ketika ditemui tidak seperti dalam keadaan mangsa yang maut dalam kebakaran.
Saksi, anggota bomba Tan Hoss yang mengetuai pasukan memadam kebakaran di rumah Nazrin pada 14 Jun tahun lalu, berkata pada kebiasaannya mangsa kebakaran akan cuba untuk menyelamatkan diri tetapi kedudukan mayat Nazrin tidak menunjukkan demikian.
“Berdasarkan pengalaman saya lebih tiga kali berdepan kebakaran maut, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan melutut atau tertiarap.
“Tetapi mayat Nazrin tidak. Mayatnya ditemui terbaring dan seperti tidak bergerak (semasa kebakaran).
“Mangsa dalam kebakaran akan mencari jalan keluar dan kebiasaannya akan mati berdekatan jalan keluar,” kata Tan yang berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat sejak 2011 pada perbicaraan kes pembunuhan Nazrin hari ini.
Nazrin, 45, meninggal dunia di bilik rumahnya di Mutiara Damansara di Petaling Jaya pada 14 Jun tahun lalu.
Isterinya, Samirah Muzaffar dan dua anak lelakinya dituduh membunuh Nazrin dan mendakwa lelaki tersebut mati akibat kebakaran yang berpunca daripada letupan telefon bimbit.
Polis masih mencari pembantu rumah Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bekerja untuk keluarga itu.
Kes itu pada awalnya diklasifikasi sebagai kematian mengejut, ditukar kepada kes pembunuhan selepas pakar forensik menemukan kesan petrol dalam bilik itu
Tan Hoss kemudiannya ditanya Timbalan Pendakwa Raya Halim Soib sama ada beliau nampak dua telefon pintar dekat mayat itu apabila pasukan penyelamat memasuki bilik tersebut.,
Tan Hass mengesahkan perkara itu tetapi mendedahkan seorang daripada anak lelaki Nazrin mengambil salah sebuah telefon itu. – 8 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen