LANGSUNG: Najib tidak tahu mengenai urus niaga 1MDB, kata Shafee


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali ke kandang saksi pada perbicaraan hari ke-33 melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 November, 2019.

SAKSI kesembilan pendakwaan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali ke kandang saksi pada perbicaraan hari ke-33 melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah akan menyoal balas Shahrol pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Perbicaraan akan bermula lewat hari ini kerana Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram akan menghadiri perbicaraan lain terlebih dahulu.

Semalam, Shahrol menafikan beliau tahu mengenai rantaian e-mel yang melibatkan cadangan eksekutif PetroSaudi International Limited (PSI) untuk menyalahkan 1MDB kerana kerugian mencecah AS$1 bilion.

Saksi itu memberitahu mahkamah, surat itu dihantar oleh Pengarah PSI Patrick Mahony kepada CEO PSI Tarek Obaid Tarek pada 7 Ogos 2010, juga membincangkan cadangan bertemu Najib untuk menjelaskan punca kerugian dalam usahasama antara 1MDB dan PSI.

“Saya tak selesa untuk ulas kerana saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan,” kata Shahrol.

Dalam usaha sama dengan PSI pada 2009, 1MDB menyuntik AS$1 bilion untuk 40% pegangan dalam PSI. Lima hari selepas ia ditandatangani pada 25 September 2009, AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dan AS$700 juta kepada Good Star Ltd.

Kedua-dua syarikat itu kemudian didapati palsu, di mana Good Star dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketika sesi soal balas semalam, Shahrol juga mengesahkan dokumen yang menunjukkan Tarek memindahkan kira-kira AS$83 juta (RM250 juta) kepada Good Star beberapa hari selepas 1MDB melabur AS$500 juta sebagai sebahagian daripada perjanjian kewangan Murabahapada 14 September 2010.

Najib, 66, sedang dibicarakan berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan suapan bernilai RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama.

Pendakwa menuduh beliau bersekongkol dengan Low untuk menipu firma pelaburan negara.

Bekas perdana menteri Najib Razak sedang dibicarakan berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan suapan bernilai RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 November, 2019.

Najib diwakili oleh sepasukan peguam. Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan yang diadili Hakim Collin Lawrence Sequerah.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung: 

5.42pm: Sequerah berkata bahawa beliau mahu perbicaraan 1MDB bermula pada pukul 9 pagi pada hari Isnin, tetapi akan ditangguhkan sebelum jam 10 pagi. Peguam tidak membantah permintaan Sequerah bahawa pendengaran 1MDB tidak akan melampaui pada jam 5 petang pada Isnin.

Mahkamah ditangguhkan.

5.40pm: Beliau memberitahu Hakim Sequerah bahawa mahkamah tinggi akan bersambung pada hari Isnin sama ada Najib harus memasuki pertahanannya dalam perbicaraan SRC International. Shafee berkata keputusan dijangka pada pukul 10 pagi.

5.39pm: Shafee berkata beliau sudah selesai dengan sesi pemeriksaan balas.

5.36pm: Shahrol berkata selepas membaca siri artikel berita, termasuk yang diterbitkan oleh The Edge pada 2015, beliau mula mempersoalkan Low sama ada dia memiliki Good Star.

Shahrol: Saya bertanya kepada Jho untuk menerangkan. Tetapi beliau berkata Good Star dimiliki oleh PetroSaudi dan beliau akan meminta PetroSaudi menulis surat pengesahan. 

Saksi itu bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa surat PSI kemudian mendakwa pemilikan Good Star adalah menipu dan palsu.

5.24pm: Shafee mencadangkan bahawa Low mendakwa “daddy” atau Raja Abdullah dimaklumkan mengenai kelewatan itu dibuat, yang saksi bersetuju ia adalah satu kemungkinan.

Shafee: Bolehkah saya mencadangkan kepada anda (yang) dia (Low) adalah orang yang tergesa-gesa untuk menghantar wang kepadanya?

Shahrol: Boleh jadi.

5.09pm: Shafee menyemak dokumen termasuk surat daripada 1MDB kepada Bank Negara yang berkait dengan US $ 330 juta.

4.41pm: Saksi itu mengesahkan bahawa AS$30 juta dibayar kepada Good Star pada 20 Mei 2011, AS$65 juta pada 23 Mei 2011, AS$110 juta pada 27 Mei 2011 dan AS$125 juta pada 25 Oktober 2011. Jumlah kesemuanya ialah AS$300 juta, Shahrol beritahu mahkamah. 

4.39pm: Shahrol beritahu mahkamah Jho Low beritahunya yang PSI tidak gembira dengan kelewatan itu.

Shahrol mengesahkan Jho Low kata “They complained to daddy (mereka mengadu pada daddy)”, yang bermaksud pengasas bersama PSI, Putera Turki Abdullah didakwa memaklumkan kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah mengenai kelewatan itu.

4.35pm: Shahrol berkata daripada AS$300 juta, hanya AS$205 juta dipindahkan melalui tiga tranche pada Mei 2011 kerana 1MDN tidak mempunyai cukup dana.

Menurut saksi itu, projek Bandar Malaysia and Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) yang kini dikenali Tun Razak Exchange (TRX) tidak mempunyai dana yang mencukupi.

“Saya beritahu Jho (Low) mengenainya. Dia minta saya tulis surat kepada PetroSaudi untuk jadikannya hitam putih,” kata Shahrol.

4.28pm: Shafee merujuk kepada surat arahan dari 1MDB kepada Deutsche Bank bertarikh 26 Mei 2011 berkenaan pengiriman AS$110 juta ke Akaun No. 11116073.2000 di RBS Coutts Bank Ltd.

Akaun itu sebelum ini dikenal pasti milik Good Star.

4.25pm: Prosiding bersambung.

3.54pm: Prosiding rehat sebentar.

3.38pm: Shafee berkata pasukannya cuba membuktikan yang Najib tidak tahu mengenai butiran transaksi.

Peguam bela bekas perdana menteri itu juga berkata Shahrol adalah seorang profesional yang menguruskan banyak dokumen transaksi, tetapi tidak sedar mengenai aktiviti haram dalam 1MDB.

“Saksi yang sama mengatakan anak guam saya bersalah, sedangkan anak guam saya tidak dapat manfaat dari dokumen-dokumen ini,” kata Shafee.

3.34pm: Sri Ram bantah cara pasukan pembelaan menjalankan sesi soal balas. Tidak jelas apa yang cuba pembelaan buktikan, katanya.

3.29pm: Shahrol merujuk kepada pertanyaan dari AmBank pada 12 Mei 2011 yang meminta penjelasan tentang benefisiari (penerima) pemindahan pertama yang menurut bank itu bukan PSI.

Saksi itu mengesahkan sepucut surat dari Tarek kepada 1MDB. Pada surat itu Tarek hanya menulis “Akaun No. 11116073.2000” sebagai benefisiari.

Menurut Shahrol, PSI tidak pernah menunjukkan yang akaun itu milik Good Star, yang menerima AS$700 juta dalam perjanjian 1MDB-PSI yang dimeterai pada 2009.

Shahrol juga berkata beliau tidak cam no akaun tersebut kerana tidak menghafalnya.

Apabila Shafee bertanya mengapa PSI menyembunyikan identiti Good Star, Shahrol berkata beliau tidak dapat terangkan kenapa mereka buat begitu.

3.17pm: Saksi berkata beliau tidak tahu kenapa Radhi tidak mengesahkan nombor akaun yang diberi oleh PSI.

3.14pm: Shahrol berkata CEO PSI Tarek Obaid memberi nombor akaun Good Star di RBS Coutts Bank Ltd di Zurich kepada 1MDB dan semua pemindahan berjumlah AS$300 juta masuk ke akaun Good Star.

3.02pm: Shahrol mengesahkan dokumen yang menunjukkan bahawa tranche terakhir berjumlah AS$125 juta pada 25 Oktober 2011 dipindahkan ke akaun Good Star Ltd.

Dokumen arahan pemindahan itu ditandatangani oleh Radhi. Penyiasat sebelum ini mendedahkan Good Star adalah syarikat beribu pejabat di Seychelles dan dikawal oleh  Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

2.47pm: Shahrol beritahu mahkamah beliau berbincang mengenai pembelian mata wang AS dengan ketua pegawai kewangan 1MDB ketika itu, Radhi Mohamad.

Radhi menyarankan jumlah tersebut dibeli dalam beberapa tranche untuk memastikan ia menerima kadar yang baik.

Pembayaran dibuat menerusi akaun AmBank 1MDB dan Deutsche Bank dalam empat tranche mulai 20 Mei 2011 hingga 5 Oktober 2011.

2.43pm: Shahrol berkata jumlah tersebut dijamin oleh PetroSaudi International (PSI).

2.37pm: Shafee merujuk kepada Resolusi Pekeliling Lembaga Pengarah bertarikh 16 Mei 2011, yang mengesyorkan 1MDB melabur lagi RM1 bilion di bawah perjanjian pembiayaan Murabaha  dengan 1MDB-PetroSaudi Ltd. Jumlah itu bersamaan AS$300 juta.

Saksi mengesahkan beliau menurunkan tandatangan pada dokumen itu.

2.31pm: Shahrol duduk di kandang saksi. – 7 November, 2019.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen