Anwar tegur kempen di sekolah, Maszlee anggap sumbangan perkara biasa


SM Amin

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya mengikut peraturan pilihan raya dan tidak berkempen di kawasan sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya mengikut peraturan pilihan raya dan tidak berkempen di dalam kawasan sekolah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berucap di sebuah sekolah sewaktu kempen PRK Tanjung Piai baru-baru ini.

Ketika ditanya, beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada benar Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkempen di SJKC Pei Chiao di Tanjung Piai seperti didakwa.

Namun tegasnya, pemimpin parti perlu mematuhi peraturan.

“Kalau dalam sekolah kita ada peraturan, kita elaklah. Dah buat kena bagi nasihat, supaya jangan teruskan.

“Kalau ada peraturan, kita harus patuh. Saya tak dapat sahkan kalau betul, saya percaya kena ikut peraturan, kod etika dan SPR juga memantau,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen

Dalam kunjungan itu, Salahuddin didakwa menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada sekolah tersebut.

Menteri tersebut semalam mempertahankan tindakan tersebut dan menegaskan tiada undang-undang khusus di Malaysia yang menghalang beliau berbuat demikian.

Sumbangan itu juga dipertahan oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik hari ini yang berkata sumbangan bantuan oleh ahli Parlimen Pulai itu satu perkara biasa.

Menurut Maszlee, sumbangan itu diberikan atas perminataan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Memang permohonan PIBG bukan sahaja dari Tanjung Piai tetapi daripada seluruh negara. Mereka nak buat acara, ada yang nak bertanding di luar negara anak muridnya, ada untuk penyelenggaran begitu, begini, hari sukan dan lain-lain lagi.

“Jadi saya kira para menteri memang biasa banyak terima permohonan seperti begitu. Jadi bila mereka ke mana-mana mereka akan memberikan sumbangan berdasarkan permintaan daripada PIBG,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh Salahuddin, Maszlee enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Saya kena dengar perkara itu (ucapan Salahuddin). Saya tidak tahu perkara ini. Saya kena tengok sendirilah nanti saya silap komen,” katanya.

Salahuddin turut meraih kontroversi apabila ucapannya dalam pertemuan dengan wakil PIBG SJKC Pei Chiao, tersebar di media sosial dan didakwa berbaur perkauman.

Menteri itu semalam bagaimanapun menafikan ucapan itu bertujuan menanam kebencian sebaliknya hanya peringatan mengenai bahaya pelampau agama.

Dalam ucapan tersebut, beliau antara lain didakwa menyebut negara akan hura hara jika Umno dan PAS memerintah.

Ucapan berkenaan menimbulkan kemarahan pemimpin Umno dan PAS yang menggesa beliau disiasat kerana didakwa membuat ucapan berbaur perkauman.

Ketika ditanya semalam, Salahuddin tidak menafikan menyebut perkara itu dan menjelaskan beliau membangkitkannya kerana untuk mengekalkan keharmonian di Malaysia.

Beberapa pemimpin pembangkang mendakwa menyifatkan ucapan Salahuddin itu bertentangan dengan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.  – 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen