Cuma peringatan bahaya perkauman, kata Salahuddin


Diyana Ibrahim

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, ucapan di SJKC Pei Chio hanya untuk mengingatkan pengundi mengenai bahaya yang dibawa oleh golongan pelampau agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2019.

UCAPAN dalam satu perjumpaan di sebuah sekolah di Tanjung Piai semalam hanya peringatan mengenai bahaya isu perkauman dan bukan bertujuan menanam kebencian, kata Salahuddin Ayub.

Timbalan presiden Amanah itu berkata, ucapan di SJKC Pei Chio itu untuk mengingatkan pengundi mengenai bahaya yang dibawa oleh golongan pelampau agama.

“Saya memperingatkan, mana-mana parti mainkan isu perkauman melampau berkawan dengan parti agama melampau kita kena berhati-hati…,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengenai ucapan yang antara lain menyebut negara akan hura hara jika Umno dan PAS memerintah.

Ucapan berkenaan menimbulkan kemarahan pemimpin Umno dan PAS yang menggesa beliau disiasat kerana didakwa membuat ucapan berbaur perkauman.

Ketika ditanya, Salahuddin tidak menafikan menyebut perkara itu dan menjelaskan beliau membangkitkannya kerana untuk mengekalkan keharmonian di Malaysia.

“Dan Perlembagaan kita mengizinkan kita menganut pelbagai agama dan kita junjung agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Jadi kita nak mengekalkan keharmonian, jangan ada satu ucapan yg rasis berbaur agama yang  dimainkan dalam PRK Tanjung Piai ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Rakaman ucapan tersebut yang berlegar di media sosial hari ini antara lain menunjukkan beliau memberi amaran bahawa keadaan akan huru-hara jika BN membentuk kerajaan bersama PAS.

“Saya tahu anda marahkan PH. Tapi ingat, kalau bagi balik BN berkuasa dia kawan sama PAS ini country akan huru hara.

“Kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tak ada orang tembak sana sini, tak ada orang bakar sana sini.

“(Jika PAS dan Umno berkuasa) nak berniaga tak boleh, nak pergi laut tak boleh,” katanya dalam rakaman sepanjang lebih 1 minit itu, yang ditonton lebih 45,000 orang di media sosial.

Ucapan itu diselar Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid yang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat Salahuddin atas kenyataan itu.

Katanya, Salahuddin tidak sepatutnya menuduh Umno dan PAS sebagai parti perkauman kerana parti itu sanggup meletakkan calon MCA Wee Jeck Seng bertanding PRK Tanjung Piai.

“Kita Umno dan PAS  letak calon dari MCA dalam PRK Tanjung Piai, itu tunjuk kita bukan rasis,” katanya. – 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen