Hakim, pendakwa dan peguam dituduh rasuah minta dibicarakan


DPP Khairul Azhwa Yusrie Mohamad (tutup muka) didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 November, 2019.

SEORANG hakim Mahkamah Sesyen, timbalan pendakwa raya (DPP) dan peguam hari ini meminta dibicarakan selepas didakwa dengan kes rasuah yang melibatkan RM17,500 di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Azmil Muntapha Abas dari Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru, DPP Khairul Azhwa Yusrie Mohamad dan peguam Noor Amirul Nazreen Anas didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM.

Azmil adalah hakim inkues ke atas kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, di dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka bersetuju menerima RM17,500 daripada seorang individu bernama Wong Chiew Hong sebagai balasan kepada Azmil yang hanya mengenakan denda kepada tujuh pendatang tanpa izin pada 17 Julai.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

DPP Allan Suman Pillai menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap suspek.

Rozilah menetapkan jumlah sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau menetapkan tarikh sebutan kes pada 16 Disember.

The Malaysian Insight pada Julai melaporkan sembilan individu, termasuk seorang hakim, DPP dan peguam, ditangkap oleh SPRM kerana didakwa menerima rasuah sebagai balasan bagi pembebasan pendatang tanpa izin yang ditahan di Kuala Kubu Baru.

Hakim itu didakwa membebaskan pendatang tanpa izin yang ditangkap sebagai pertukaran wang tunai.

Lima anggota polis, yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes itu, dan pegawai polis mahkamah adalah enam lain yang ditahan.

The Malaysian Insight menyiarkan laporan bahawa SPRM menemui RM17,500 pada peguam, yang dikatakan membantu pembebasan tujuh pendatang tanpa izin.

Dalam kes berasingan, Azmil didakwa dengan pertuduhan tambahan kerana menerima rasuah RM5,000 pada 10 Mei tahun lepas. Beliau mengaku tidak bersalah.

Beliau didakwa menerima wang itu melalui pemindahan dalam talian di sebuah bank di Klang sebagai ganjaran mengenakan hanya denda kepada enam yang ditahan kerana perjudian haram. – 6 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen