Sikap tidak peduli, kecewa halang rakyat tunai hak sebagai pengundi


Melati A. Jalil Noel Achariam

Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan sehingga Februari tahun ini, sebanyak 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2017.

BANYAK perkara yang berada di luar kawalan seseorang warganegara seperti kejatuhan ringgit, peningkatan tahap rasuah atau kebebasan berhimpun.

Bagaimanapun, setiap lima tahun, rakyat Malaysia boleh mengundi calon pilihan mereka, sekali gus menetapkan hala tuju negara.

Hak mengundi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 119. Namun, kerana rasa putus asa atau sikap tidak peduli, terdapat kira-kira 4 juta rakyat Malaysia berkelayakan tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.

Untuk menukar ini, sekumpulan masyarakat sivil berusaha lebih keras menubuhkan lebih banyak kaunter pendaftaran pengundi di pasar malam dan pusat membeli-belah untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam proses politik sebagai pengundi.

Setiap undi dikira

“Ada yang fikir mereka tidak perlu mendaftar sebagai pengundi. Ia bukan keutamaan. Mereka lebih mengambil berat tentang isu lain.

“Mereka tidak boleh mengaitkan isu itu dengan hak mengundi kerana berasa ia adalah dua perkara berbeza,” kata Lena Hendry, pengarah projek Watan kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata terdapat anak muda yang layak mengundi berasa terasing dengan senario politik semasa kerana tidak berasa parti politik, sama ada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, boleh mengubah keadaan semasa.

“Kami memberitahu mereka tiada gunanya merungut kerana akhirnya, setiap undi akan diterjemahkan kepada sesuatu,” katanya sambil menambah kumpulan itu juga menggunakan personaliti popular untuk membantu memaklumkan kepada masyarakat tentang kepentingan mengundi.

Beliau berkata usaha bersama Watan dan kumpulan lain berjaya mengumpul 10,000 pendaftaran pengundi baru bulan lepas.

Aktivis sosial dan Pengerusi Engage, Thomas Fann berkata antara isu utama dihadapi kumpulan dalam program pendaftaran pengundi adalah mendapatkan surat sokongan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kami biasanya suka membuka kaunter pendaftaran di tempat yang sibuk seperti pusat membeli-belah popular tetapi kebanyakannya memerlukan surat sokongan daripada SPR.”

“Tetapi SPR hanya akan mengeluarkan surat jika pegawai mereka terlibat sama. Ia bukan selalunya mudah mendapatkan SPR,” katanya, sambil menambah kekurangan Penolong Pegawai Pendaftaran (ARO) juga menjadi masalah utama.

Fann berkata terdapat banyak kerusi menang atau kalah dengan sedikit perbezaan pada pilihan raya lepas dan setiap undi memainkan peranan.

“Jika kita tidak mendaftar dan mengundi, kita membiarkan orang lain membuat keputusan untuk kita. Lihatlah apa yang berlaku semasa Brexit dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat baru-baru ini. Ramai tidak keluar mengundi dan keputusan bukan apa yang diingini atau dijangka orang ramai,” katanya.

Fann berkata semasa kempen terakhir pada Mac, mereka berjaya mendaftarkan 1,130 pengundi di kawasan Johor Bahru.

4 juta pengundi belum mendaftar

SPR pada bulan lalu berkata sehingga Februari tahun ini, sebanyak 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Pada 2016, daripada 30 juta penduduk, hanya 13.3 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai pemilih.

Ann Teo daripada Rise of Sarawak Efforts (Rose) berkata, mendapatkan nama pengundi untuk diwartakan bukanlah satu proses segera, kerana ia boleh mengambil masa antara empat hingga enam bulan bagi semua nama itu dimasukkan di dalam daftar pemilih.

“SPR memproses pemohon baru setiap suku tahun ini dengan Mac 31 sebagai tarikh akhir bagi suku pertama.

“Apa yang kita boleh lakukan adalah memberitahu orang ramai untuk mendaftar walaupun tarikh Mac 31 sudah lepas. Mereka boleh pergi ke pejabat pos berkomputer dan mendaftar sekarang. Ia tidak kira jika tahun ini tahun pilihan raya atau tidak. Asalkan anda berumur 21 tahun ke atas, pergi mendaftar,” katanya, sambil menambah suku akan datang akan berakhir pada 30 Jun.

Beliau bagaimanapun berkata, antara halangan dihadapi Sarawak ialah kos perjalanan ke kota atau bandar terdekat untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Setiap kali kami membuka kios di bandar atau di luar bandar, ada sahaja yang mahu mendaftar sebagai pengundi. Walaupun kesedaran politik masih rendah tetapi secara umum, rakyat tahu mereka perlu mendaftar,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu menjalankan program pendaftaran pengundi pada minggu terakhir setiap bulan dan ke bandar yang mempunyai jarak sejam memandu dari bandar untuk mendaftar pengundi baru.

Beliau berkata kumpulan itu berjaya mendaftar 900 pengundi baru sejak memulakan kempen mereka pada Februari.

Kumpulan yang ditubuhkan oleh belia dan pelajar, Perihatin Politik (Pripol) juga menjadi gelombang di Lembah Klang, kerana fokus utama mereka adalah untuk mendapatkan seberapa ramai yang mungkin untuk didaftarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Sejak ditubuhkan pada Mac tahun ini, kumpulan itu berjaya mendaftarkan kira-kira 2,000 pengundi.

Sasaran utama mereka ialah memberi tumpuan kepada pengundi yang tidak berdaftar di pelbagai acara universiti, pusat membeli-belah dan pasar malam.

Antara aktiviti yang dijalankan Pripol untuk menarik pengundi termasuk “flash mob”, wacana dan sembang santai.

“Apa yang kami ingin lakukan adalah mendidik belia mengenai kepentingan mengundi, di samping mewujudkan kesedaran tentang arena politik di sini,” kata penyelaras Pripol, Anis Syafiqah, 25.

Anis yang juga pelajar jurusan linguistik tahun ketiga di Universiti Malaya berkata, kumpulannya yang terdiri daripada lima ahli dan beberapa sukarelawan akan keluar tiga hari seminggu untuk mendaftarkan pengundi.

“Bukan mudah mengajak orang ramai mendaftar. Antara halangan yang kami hadapi ialah mereka mengelak atau menjauhkan diri dan menerima pelbagai alasan.

“Sebahagian mereka mengatakan punca mereka tidak mengundi kerana tidak tahu parti untuk diundi atau berfikir ia berbaloi untuk mengundi, kerana ia tidak membawa sebarang perbezaan,” katanya.

Walaupun, ia nampak seperti tugas mudah, Anis percaya kumpulannya akan mencapai sasaran mereka mendaftarkan 10,000 pengundi pada akhir Jun. – 22 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen