DAP tiada kaitan dengan LTTE, tegas Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Hanya kebetulan sebahagian daripada 12 dihadapkan ke mahkamah minggu ini adalah ahli DAP, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2019.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menegaskan DAP tidak patut dikecam dan dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) selepas dua wakil rakyat parti itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menyokong kumpulan pengganas yang diharamkan itu.

Beliau yang juga presiden Bersatu, sekutu DAP dalam Pakatan Harapan (PH), berkata hanya kebetulan sebahagian daripada 12 yang dihadapkan ke mahkamah minggu ini adalah ahli DAP.

“Tidak ada kaitan dengan DAP kebetulan pemimpin parti itu, DAP tak terbabit hatta ada individu melakukan sesuatu tak betul tak boleh tuduh parti tetapi kepada undang-undang dan serah pada polis untuk disiasat.

“Perkara ini sudah dijelaskan kepimpinan tertinggi PH, jangan salah faham,” kata Muhyiddin dalam sidang media di Pontian, hari ini.

Beliau ditemui selepas penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai pagi tadi.

Kenyataan Muhyiddin hari ini menyusul kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng malam tadi bahawa pemimpin partinya tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap mereka yang ditahan.

Katanya, pemimpin DAP dalam satu mesyuarat pada Khamis mengutuk penangkapan yang disifatkan “tidak berasas”, yang melibatkan Adun Gadek yang juga exco kerajaan Melaka G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran.

Lim juga mempersoalkan kenapa pemimpin pembangkang, yang pernah hadir majlis parti komunis semasa berkuasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), tidak dikenakan tindakan.

Bekas Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Presiden MCA Liow Tiong Lai pernah berucap di kongres Parti Komunis China pada 2017, manakala pemimpin MCA pernah mengikut latihan di akademi parti yang sama.

Lim juga menegaskan bantahan DAP terhadap penggunaan Sosma, yang menafikan beberapa hak yang lazimnya diberi kepada tertuduh dalam kes jenayah yang biasa.

Hari ini, seorang lagi Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong juga dari DAP berkata akan membangkitkan soalan mengenai penggunaan dakwaan tertuduh kes LTTE didera dan dipaksa membuat pengakuan semasa dalam tahanan.

“Menteri (Muhyiddin) mesti berikan penjelasan kepada Parlimen, termasuk langkah yang telah diambil untuk membetulkan keadaan, agar integriti pasukan polis tidak terjejas,” katanya.

Dua tertuduh kes LTTE semalam membuat aduan secara tertutup kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi mendakwa mereka didera semasa dalam tahanan.

Muhyiddin hari ini berkata Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat dakwaan itu. – 2 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen