PEMIMPIN DAP tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa yang secara tiba-tiba bergantung kepada undang-undang menindas Sosma terhadap suspek yang terlibat dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Lim Guan Eng.
Mengutuk penangkapan itu yang telah dilakukan dengan “alasan yang tidak berasas”, Lim yang merupakan setiausaha agung DAP berkata pemimpin parti terkejut dengan penangkapan ahli parti Adun Gadek G Saminathan, Adun Seremban Jaya P Gunasekaran dan tiga individu lain.
“Pelbagai soalan dikemukakan mengapa tindakan serupa tidak diambil terhadap pemimpin pembangkang ketika mereka berada dalam kerajaan sebelum pilihan raya umum 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Saminathan dan tiga individu lain untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi mengenai sama ada mereka boleh ditawarkan ikat jamin walaupun didakwa terlibat dengan LTTE.
Lim berkata parti itu mengalu-alukan perkembangan itu tetapi persoalan masih belum terjawab.
“Persoalan biasa yang tidak dijawab adalah mengapa tindakan diambil terhadap wakil rakyat DAP oleh kerajaan sekarang kerana dakwaan kesalahan yang dilakukan sebelum 2018, ketika kerajaan BN sebelum ini tidak melakukan tindakan serupa terhadap mereka.
“Kegagalan untuk mengambil tindakan sama terhadap pemimpin kerajaan ketika itu yang sesetengahnya memberikan dana kepada LTTE menimbulkan persoalan tentang kewujudan daulah terpendam,” katanya. – 1 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen