Lim Guan Eng enggan ulas komik kontroversi propaganda China


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tidak mahu campur tangan dalam proses perundangan yang membabitkan komik kontroversi 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

LIM Guan Eng enggan mengulas penglibatannya dalam kontroversi komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” kerana tidak mahu campur tangan dalam proses perundangan.

Setiausaha agung DAP berkata beliau difahamkan penulis komik Hew Kuan Yau akan mengambil tindakan undang-undang selepas komik berkenaan diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Masih ada peruntukan undang-undang yang akan digunakan oleh pihak penulis dan biar ini berjalan dulu sebelum saya buat apa- apa komen supaya tidak akan dianggap sebagai campur tangan,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

KDN mengharamkan komik berkenaan pada 23 Oktober lalu dengan alasan ia mengandungi propaganda komunisme dan sosialisme.

Lim adalah penulis kata pengantar komik berkenaan, yang diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Hew kemudian menghadiahkan komik berkenaan kepada Presiden China Xi Jinping semasa lawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke republik itu pada April lalu.

Ketika heboh kontroversi komik itu dua minggu lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan menafikan komik berkenaan hadiah rasmi Dr Mahathir kepada Xi semasa pertemuan dua hala di luar Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa di Beijing.

Komik itu mencuit kontroversi selepas dikesan diedarkan ke sekolah.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kemudian menegaskan komik berkenaan dilarang diedar di sekolah kerana tidak mendapat kebenaran kementerian selain mengandungi propaganda politik.

Komik berkenaan memaparkan pendirian politik China, misalnya dalam isu penindasan ke atas umat Islam Uighur dan pertikaian sempadan di Laut China Selatan.

Selain tulisan kata pengantar oleh Lim, komik itu juga dikaitkan dengan DAP selepas Hew dilapor menyerahkan komik berkenaan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching daripada DAP.

Semalam, Maszlee menjelaskan di Dewan Rakyat yang foto Teo dan Hew bersama komik itu bukan bukti dukungan kementerian kepada kandungannya. – 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen