KDN haramkan komik propaganda China


Komik kontroversi "Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama" diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan dan Komik Asia di Pulau Pinang, hasil kerjasama kuratornya Hew Kuan Yau dengan pelukis tempatan Chong Po Ling. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019

KEMENTERIAN Dalam Negeri mengharamkan komik kontroversi “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” antara lain dengan alasan ia mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

Larangan itu dikenakan ke atas ketiga-tiga edisi penerbitan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin, kata kementerian.

“Penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai,” kata KDN dalam satu kenyataan petang ini. 

Perintah larangan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dengan larangan itu, mana-mana pihak di Malaysia dilarang mencetak, menerbit, menjual, mengedar, menghasilkan semula, mengimport atau memiliki hasil daripada komik itu.

Mereka yang sabit kesalahan melanggar larangan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kandungan penerbitan ini dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Maaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.”

KDN juga menyifatkan komik itu cuba menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia,” kata kementerian.

Komik itu juga dianggap mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh dan pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan Malaysia, tambah kenyataan itu.

Kontroversi komik itu timbul selepas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa komik berkenaan “menyebarkan propaganda DAP dan komunis” dan diedarkan ke sekolah.

Komik itu diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan dan Komik Asia di Pulau Pinang, hasil kerjasama kuratornya Hew Kuan Yau dengan pelukis tempatan Chong Po Ling.

Semasa lawatan ke China pada April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan komik tersebut kepada Presiden Xi Jinping.

Minggu lalu, Pejabat Perdana Menteri menafikan terlibat dalam penerbitan komik berkenaan dan menjelaskan ia bukan hadiah rasmi kepada Xi semasa pertemuan dua hala Malaysia-China. Komik itu dikatakan lepas tanpa mengikut prosedur.

Kementerian Pendidikan juga menetapkan komik itu dilarang diedar di sekolah.

Susulan keputusan itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dikecam oleh 43 pemimpin akar umbi DAP termasuk beberapa wakil rakyatnya yang menuduh beliau menteri Umno.

Najib juga baru-baru ini mendedahkan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada awal September menerima kunjungan Hew ke pejabatnya untuk menyampaikan komik propaganda tiga bahasa itu.

Awal hari ini, Maszlee menggesa pimpinan DAP supaya mendisiplinkan ahli mereka supaya patuh pada keputusan kementerian atas semangat tanggungjawab bersama sebagai kerajaan dan kedaulatan undang-undang.

Hew hari ini dipanggil polis untuk diambil keterangannya bagi membantu siasatan berhubung pengedaran komik berkenaan.

Beliau sebelum itu digelar melampau dan perkauman kerana komik berkenaan menganggap mana-mana pihak yang bersimpati dengan masyarakat Islam Uighur yang ditindas oleh China sebagai radikal.

Komik itu juga memakai pendirian China mengenai batas sempadan di Laut China Selatan, wilayah yang turut dituntut hak miliknya oleh Malaysia. – 23 Oktober, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen