LANGSUNG: Pengarah usaha sama 1MDB-PSI dapat komisyen AS$85 juta


Bede Hong Timothy Achariam

Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan disoal balas lagi peguam Muhammad Shafee Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Oktober, 2019.

BEKAS CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan menyambung memberi keterangan pada hari ke-28 perbicaraan kes melibatkan Najib Razak.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah akan menyambung sesi soal balas saksi kesembilan pendakwaan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Semalam, Shahrol memberi keterangan bahawa Najib memberikan nasihat menentang penilaian kedua aset PetroSaudi International yang didakwa bernilai AS$2.2 bilion.

Saksi berkata Najib diminta memberikan nasihat itu kerana kapasitinya selaku pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB pada 16 Oktober 2009 selepas AS$1 bilion didakwa dimasukkan ke dalam PetroSaudi Holdings (Caymans) Ltd dan Good Star Ltd.

Siasatan kemudian mendapati syarikat itu adalah syarikat palsu.

Apabila diasak pihak pembelaan yang berkata Najib tidak pernah secara langsung mengarahkan keputusan penilaian kedua Lembaga Pengarah diabaikan, tetapi hanya menyatakan pandangannya, Shahrol menjawab: “Realistiknya apabila perdana menteri beri pandangan, saya rasa ramai orang akan fikir ia perlu dilakukan.”

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram jumlah yang sama.

Pendakwaan menuduhnya bersubahat dengan ahli perniagaan Jho Low untuk menipu dana pelaburan kekayaan negara itu.

Shahrol, 49, juga memberitahu mahkamah yang Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai keputusan memecahkan pinjaman AS$1 bilion kepada dua bahagian dalam usaha sama dengan PetroSaudi International.

Lima hari selepas usaha sama itu dimeterai pada 25 September 2009, AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dan AS$700 juta lagi kepada Good Star Ltd tanpa kelulusan lembaga.

Kedua-dua syarikat itu kemudian didapati bukanlah syarikat yang sah.

Perjanjian usaha sama itu kemudian dipinda untuk mengubah akaun usaha sama daripada BSI Bank kepada JPMorgan, kata Shahrol lagi.

Najib diwakili sekumpulan peguam diketuai Shafee.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan, kes didengar di hadap Hakim Collin Lawrence Sequerah.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

1pm: Shafee memberitahu Sequerah yang beliau mempunyai urusan lain yang perlu dihadiri. Hakim membenarkan permohonannya.

Perbicaraan ditangguh kepada jam 2.30 petang esok, kerana Shafee ada urusan lain pagi esok.

12.33pm: Shafee berkata Shahrol “dengan rela menutup mata” kerana beliau tidak mahu melihat usaha sama itu satu penipuan. 

12.15pm: Shahrol berkata situasi itu bagaimanapun tidak menimbulkan syak wasangkanya, tetapi Shafee membidas sepatutnya beliau curiga jika beliau seorang yang rasional.

Shafee: Sama ada awak curiga, ataupun awak terlibat sama dalam perkara ini.

Shahrol: Saya tak setuju.

12.08pm: Katanya AS$700 juta itu sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun milik anak syarikat PSI, tetapi “tiada hitam putih” ke mana wang itu dimasukkan.

Ketika itu, katanya, Lembaga Pengarah 1MDB tidak tahu wang sudah diberi kepada Good Star.

Tambahnya, lembaga kemudian memintanya bertanyakan nasihat daripada Najib mengenai perkara itu.

12.07pm: Shahrol berkata beliau cuba mendapatkan pengesahan melalui email tentang baki AS$300 juta yang masuk ke dalam PSI, tetapi tidak mendapat balasan.

12.04pm: Apa yang berlaku kepada AS$700 itu, tanya Shafee.

Shahrol berkata wang itu “dipindahkan kepada Good Star”.

“Bagi pihak PSI, diwakili Tarek, mengesahkan yang PSI menerima AS$700 juta. Kami tidak tahu ia masuk ke dalam Good Star milik Jho Low. Kami ingat ia termasuk dalam PSI.”

12pm: Mahkamah dimaklumkan yang White and Chase, firma guaman usaha sama itu dibayar sebanyak £127,000 oleh Tarek.

Shahrol berkata bayaran kepada peguam sepatutnya dibuat PSI.

Shafee: Wujud kemungkinan Tarek bayar kerana dia ada kepentingan perundangan?

Shahrol menjawab yang memang ada kemungkinan.

11.51am: Shahrol berkata Tarek tidak mengisytiharkan jumlah komisyen 1MDB-PSI diterimanya.

Daripada AS$85 juta itu, Tarek membayar Patrick Mahoney sebanyak AS$33 juta, tambah saksi dan dibalas Shafee: “Krismas mereka datang awal (cepat mereka beraya.)”

11.49am: Shafee berkata Tarek dibayar AS$85 juta sebagai komisyen kerjanya dalam usaha sama itu. 

Shafee: Komisyen jenis apa sampai seseorang boleh dapat AS$85 juta?

Shahrol: Untuk dia dapatkan usaha sama AS$2.5 bilion; AS$1 bilion daripada 1MDB dan AS$1.5 bilion daripada PSI.

Shafee: Komisyen itu lebih 10%.

Shahrol: Ya.

11.39am: Good Star membayar AS$85 juta kepada Tarek Obaid pada 5 Oktober 2009, beberapa hari selepas syarikat itu menerima AS$700 juta.

Shahrol berkata beliau tidak sedar wang itu diberikan kepada Good Star, beliau juga tidak mengetahui jumlah bayaran dibuat kepada Obaid.

11.30am: Shafee menunjukkan penyata akaun Good Star daripada RBS Coutts.

Pada 30 September 2009, bayaran sebanyak AS$700 juta dibuat kepada akaun itu. Mahkamah dimaklumkan yang jumlah itu adalah daripada usaha sama antara 1MDB dan PSI.

11.26am: Mahkamah mula bersidang. Shafee meminta maaf kepada Sequerah kerana lewat bermula, kerana beliau perlu hadir dalam perbicaraan kes lain pagi ini. Beliau mula menyambung sesi soal balas. 

11.17am: Shafee dan pasukannya baharu tiba di mahkamah. Najib dan penyokongnya duduk di ruang awam. Shahrol kembali ke kandang saksi. – 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen