1MDB tak diberitahu pelaburan AS$1 bilion akan dipecah dua, kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd manakala AS$700 juta kepada Good Star Ltd. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Oktober, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak dimaklumkan mengenai keputusan untuk memecah dua pelaburan AS$1 bilion kepada sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh PetroSaudi International.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd manakala AS$700 juta kepada Good Star Ltd.

Shahrol berkata pembayaran dibuat lima hari selepas perjanjian usaha sama ditandatangani pada 25 September 2009.

Keputusan ini tidak dimaklumkan kepada lembaga pengarah 1MDB, tambah saksi kesembilan pendakwaan itu.

Hasil siasatan mendedahkan kedua-dua syarikat itu bukan syarikat usaha sama yang sah.

Shahrol juga berkata perjanjian dipinda untuk menukar akaun usaha sama daripada BSI Bank kepada JPMorgan.

Saksi itu memberitahu mahkamah, pada mesyuarat lembaga pengarah pada 26 September, fokusnya ketika itu adalah untuk memuktamadkan perjanjian selepas digesa oleh pengarah eksekutif 1MDB ketika itu, Casey Tang.

“Dalam fikiran saya ketika itu ialah sesuatu perlu dilakukan dan semuanya perlu dibuat dengan betul kerana ia akan dilihat oleh orang yang berpengalaman, dan Casey menasihatkan saya yang ianya tidak apa, lembaga pengarah akan dimaklumkan kemudian mengenainya,” kata Shahrol.

Shahrol, ketika disoal balas peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah berkata keputusan itu tidak mendapat persetujuan lembaga pengarah.

Shafee: Apa yang sukarnya mendapatkan kebenaran lembaga pengarah?

Shahrol: Kekangan masa dan ia mesti diselesaikan segera.

Shafee: Berapa lama masa yang diperlukan untuk menghubungi lembaga pengarah?

Shahrol: Tak lama pun. Pada masa itu, apa yang difikirkan ialah meneruskannya… pecahkan (pelaburan usaha sama), tetapi beritahu lembaga pengarah kemudian.

Perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International untuk melabur dalam sektor tenaga di Amerika Selatan dan kawasan lain ditandatangani pada 25 September 2009.

Shahrol tandatangan bagi pihak 1MDB, manakala Tarek Obaid bagi pihak PetroSaudi. – 29 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen