DAP tersepit antara tuntutan penyokong dan kemarahan Melayu


Yeoh Cheong Ee

DAP kini perlu memutuskan strategi mereka berdepan serangan pembangkang dan Bersatu, berdiam diri boleh menyebabkan mereka hilang sokongan akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2019.

SELEPAS menjadi sebahagian daripada pakatan pemerintah selama 18 bulan, DAP kini bergelut untuk menyelesaikan isu politik dan meredakan kemarahan rakyat.

Parti dan pemimpinnya itu yang sekian lama dilihat lantang bersuara dalam pelbagai isu, kini diam seribu bahasa dalam pelbagai kontoversi terbaru, sehingga kelihatan mengelak menyuarakan pendirian dalam semua isu.

Penganalisis dan pengulas politik memberitahu The Malaysian Insight yang sikap parti itu yang berdiam diri dalam pelbagai kontoversi melanda negara nampaknya memberi ruang bernafas kepada pemimpinnya tetapi ia bukanlah strategi bijak dan hanya akan memburukkan keadaan.

Kata mereka lagi, siri kontroversi berkaitan DAP bukanlah satu kebetulan, terutamanya dalam isu yang membolehkan sekutunya dalam Pakatan Harapan, Bersatu menyerang DAP.

Isu-isu tersebut termasuklah pengenalan khat Jawi di sekolah vernakular, dakwaan penglibatan dua Adunnya dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam, pengedaran buku komik pro-China di sekolah dan kritikan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad oleh wakil rakyatnya Ronnie Liu.

Kesemua isu ini secara langsung atau tidak memberi kesan kepada DAP.

Dr Lim Chee Han, penyelidik dasar dan pengasas bersama Agora Society Malaysia memberitahu The Malaysian Insight yang isu ini sebenarnya menguji pendirian DAP dan memaksanya membuat pilihan sukar.

“DAP menjadi sasaran kerana ia kuasa politik bukan Melayu. Selepas Kongres Maruah Melayu, parti Melayu mahu bersatu dan mereka perlukan musuh bersama, dan sasarannya adalah DAP,” katanya.

DAP si kambing hitam

Penganalisis politik Koh Kok Wee bersetuju dengan penilaian itu, berkata Umno dan pihak tertenu dalam Bersatu sedang berusaha bersama-sama menyerang DAP. Ini adalah kerana kedua-dua pihak mahukan bank undi Melayu, dan DAP dilihat sasaran mudah kambing hitam.

“Sekarang nampaknya situasi tak berapa elok untuk DAP, tetapi yang buruk masih belum berlaku.

“Bila Dr Mahathir hadir di Kongres Maruah Melayu, beliau dan partinya Bersatu menyimpang daripada pendirian kolektif PH, tetapi DAP masih menyokong perdana menteri,” katanya.

Disebabkan itu, DAP kini terpaksa bergelut dengan kecaman ahli akar umbinya yang mula mempersoalkan tindakan Dr Mahathir. Walaupun begitu, kepimpinan parti masih berdiam diri untuk melindungi kerajaan Dr Mahathir, untuk manfaat bersama yang lebih besar.

Koh berkata dasar kepimpinan yang terlalu mesra dengan semua mungkin tidak akan berjaya meraih sokongan orang Melayu, dan pada masa sama ia juga tidak memuaskan hati akar umbi DAP.

“Persoalan utama sekarang adalah selepas kejadian berturut-turut ini, adakah DAP sedar yang mereka menjadi sasaran Bersatu?

“Dalam isu khat (Jawi), DAP tidak boleh memuaskan kehendak orang Melayu dan Cina. Dalam isu LTTE pula, DAP kelihatan tersepit.

“Dengan isu komik Jalur dan Jalan, Umno yang mencetuskan kecaman tetapi Bersatu yang memburukkan keadaan, Dan sekarang nampaknya Bersatu dan Umno bekerjasama dalam isu ini, yang menimbulkan persoalan siapa sebenarnya musuh atau sahabat DAP?”. – 29 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen