LANGSUNG: Saksi dedah urus niaga 'tipu' dengan Good Star Ltd milik Jho Low


Bede Hong Timothy Achariam

Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali memberi keterangan hari ke-27 perbicaraan kes 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Oktober, 2019.

SAKSI kesembilan pendakwaan, bekas CEO 1Malaysia Development Berhad Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali memberi keterangan pada hari ke-27 perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak, hari ini.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan sesi soal balas Shahrol pada perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Khamis lepas, saksi dalam keterangannya memberitahu yang Najib- menerusi orang tengah- mendesaknya supaya memeterai perjanjian antara 1MDB dan PetroSaudi International pada September 2009.

Shahrol berkata beliau diminta berbuat demikian oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho- atau Jho Low- dan Pengarah Eksekutif 1MDB ketika itu Casey Tan, walaupun wujud masalah dalam klausa perjanjian yang boleh menyebabkan syarikat menanggung hutang mencecah AS$700 juta (RM2.9 bilion).

“Pada masa itu saya terima banyak tekanan supaya meterai perjanjian. Jho Low dan Casey meyakinkan saya yang ia OK, dan Jho Low tegaskan yang bos (Najib) memang mahu ia dilakukan,” kata Shahrol.

“Jadi saya ambil keputusan untuk mengikut apa yang saya lihat sebagai arahan dari Datuk Seri Najib dan tandatangani perjanjian itu.

“Saya percaya ia akan berjaya kerana Jho Low uruskan butirannya dengan Tang, dan Najib tahu mengenainya.”

Najib, 66, sedang dibicarakan dengan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya sebanyak RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram jumlah yang sama.

Pendakwaan menuduhnya bersubahat dengan Low untuk menipu dana pelaburan kekayaan negara itu.

Sharol juga mendedahkan yang 1MDB hanya melakukan kajian internet pada 2009 untuk mengesahkan aset dimiliki rakan kongsi usaha samanya, PetroSaudi.

Pasukan Tan mengendalikan proses pengesahan aset gas dan minyak PetroSaudi didakwa bernilai AS$2.2 bilion (RM9.2 bilion) di Argentina dan Turkmenistan, kata saksi berusia 49 tahun itu.

Najib diwakili sekumpulan peguam diketuai Shafee.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram pula mengetuai pasukan pendakwaan, kes didengar Hakim Collin Lawrence Sequerah.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

4.40pm: Shafee menamatkan sesi pemeriksaan balas hari ini. Beliau akan menyoal tentang penyelewengan AS$700 juta esok. 

Perbicaraan ditangguhkan dan bersambung pagi esok.

4.22pm: Shafee berkata Edward Morse yang menjalankan proses penilaian pertama (dan satu-satunya), bersekongkol dengan PSI untuk memberi laporan palsu.

Shafee: Saya mahu soal Edward Morse kalau dia ada di sini satu hari nanti.

4.10pm: Shahrol berkata lembaga pengarah tidak mempercayai PSI dan meminta penilaian kedua tetapi tidak berbuat demikian kerana PSI mendakwa itu akan melibatkan kos yang banyak.

Shahrol berkata beliau menyedari bahawa PSI tidak mahu penilaian kedua dijalankan kerana itu akan mendedahkan kebenaran mengenais aset mereka.

3.30pm: Sri Ram membantah soalan Shafee kerana kes bukan berkenaan undang-undang syarikat.

Shafee berkata beliau perlu tanya soalan itu untuk mengetahui bagaimana Sharol membuat keputusan. Hakim Sequerah benarkan.

3.25pm: Shafee bertanya kepada Shahrol jika saksi itu mempunyai kewajipan fidusiari kepada Najib dan 1MDB menerusi bekas perdana menteri itu.

Shahrol: Ya.

Shafee: Boleh tunjukkan kepada saya bukti dokumen yang menyatakan demikian?

Shahrol: Tidak ada, tetapi saya dan pengurusan atasan dilantik oleh Najib.

Shafee: Tahukah bahawa mengikut undang-undang, kewajipan fidusiari awak ialah kepada syarikat dan bukan kepada pemegang saham?

Shahrol: Boleh saya tengok? (Undang-undang)

Shafee: Saya akan tunjukkan nanti. Jawab soalan, adakah awak tahu yang kwajipan fidusiari adalah kepada syarikat?

Shahrol: Saya tak tahu.

Shafee: Menteri kewangan adalah pemegang saham 1MDB, boleh tunjukkan saya sebarang dokumen yang menyatakan kamu mempunyai kewajipan fidusiari kepada lembaga penasihat atau pengerusi lembaga pengarah. Awak tidak faham prinsip asas undang-undang syarikat, awak silap tentang peranan kamu.

Shahrol: Mungkin saya tak tahu undang-undang dan ikut cakap Najib.

Shafee: Ada Najib kata “dengar cakap saya, bukan cakap lembaga”?

Shahrol: Tidak ada.

3pm: Mahkamah kembali bersidang selepas rehat makan tengah hari. 

12.25pm: Shafee: Awak pastinya setuju dengan saya yang Najib tiada kaitan dengan perjanjian tipu ini?

Shahrol: Saya tak boleh cakap apa yang (hanya) dia tahu.

Shafee: Awak setuju dengan saya jika awak ditipu, dia (Low) mungkin tipu Najib juga?

Shahrol: Ya, saya setuju.

Shafee: Awak setuju dengan saya jika ada penipuan, awak perlu periksa pelakunya? Bahawasanya Casey, Low dan orang lain tidak berlaku jujur?

Shahrol: Susah hendak kata mereka sepenuhnya tidak jujur.

Shafee: Jika awak boleh putar balik masa, adakah awak akan mempercayai mereka?

Shahrol: Jika saya boleh putar balik masa, saya akan berhenti kerja.

Shahrol juga memberitahu Shafee yang beliau percaya Najib mahu melakukan kebaikan dengan 1MDB dan kerana itu beliau bekerja untuk Najib.

12.18pm: AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun bank milik Good Star Ltd, di RBS Coutts Bank AG (Zurich) dengan nombor akaun 11116073. Shahrol berkata beliau tidak tahu Good Star adalah milik Low.

Shahrol berkata perjanjian itu adalah satu penipuan kerana beliau tidak pernah mendengar tentang Good Star sebelum ini.

12.10pm: Shafee mencadangkan kepada Shahrol yang, kalau ditinjau semula, Low adalah “penipu besar” dan kewibawaannya boleh dipersoal. Shahrol bersetuju. 

11.30am: Mahkamah kembali bersidang. Shahrol sedang mengesahkan akaun yang dimasukkan AS$700 juta. 

10.48am: Mahkamah berhenti rehat sebentar. 

10.21am: Shahrol berkata beliau berpuas hati dengan keputusan Casey Tang dan Jho Low untuk melawan keputusan lembaga pengarah memisahkan dana PSK sebanyak AS$1 bilion kepada AS$700 juta dan AS$300 juta.

Shahrol berkata beliau percaya ia perlu dilakukan. Tang kemudian memberitahunya supaya buat dahulu dan kemudian beritahu lembaga pengarah.

Shahrol berkata ada keperluan untuk buat dahulu kerana beliau didesak.

Shafee: Berapa lama untuk panggil lembaga pengarah (bersidang)?

Shahrol: Tidak lama, tetapi Casey beritahu saya, kita akan jelaskan kepada lembaga pengarah nanti.

Shafee: Jadi, Casey kata, tak kisahlah, lembaga pengarah buat keputusan dan kita buat keputusan lain?

Shahrol: Ia nampak seperti perkara yang betul dilakukan dan dapat kebenaran Najib dan Jho Low.

9.57am: Shafee meneliti perjanjian pinjaman daripada 1MDB kepada PetroSaudi berjumlah AS$700 juta. Shahrol bersetuju yang Tarek Obaid adalah salah seorang penandatangan perjanjian.

9.54am: Mahkamah mula bersidang, Shafee menyambung soal balas Shahrol. – 29 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen