1MDB hanya guna hasil carian Internet sahkan aset AS$2.2 bilion PetroSaudi


Bede Hong Timothy Achariam

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata carian internet itu dibuat sebelum 1MDB menyalurkan AS$1 bilion untuk projek bersama PetroSaudi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Oktober, 2019.

PENGURUSAN 1Malaysia Development Berhad hanya melakukan carian internet untuk mengesahkan aset AS$2.2 bilion yang didakwa milik rakan usaha samanya PetroSaudi International pada 2009, mahkamah tinggi dimaklumkan hari ini.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang pasukan Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang ketika itu hanya menyerahkan pengesahan aset minyak dan gas PetroSaudi di Argentina dan Turkmenistan.

Ketika disoal balas peguam Muhammad Shafee Abdullah, saksi berusia 49 tahun itu berkata pasukan tersebut hanya melakukan carian internet.

Shahrol: Setahu saya, pasukan Casey hanya buat carian internet sahaja.

Shafee: Awak mesti cetak kan?

Shahrol: Tidak. Saya tidak ada lagi salinan itu.

Shafee: SPRM siasat dan mereka tak tanya tentang ini?

Shahrol: Tidak.

Shafee: Adakah dia (Casey) tunjukkan kepada awal hasil carian di Internet?

Shahrol: Seingat saya, ya, saya nampak (hasil carian itu).

Shafee: Adakah awak berpuas hati dengan hasilnya?

Shahrol: Ya.

Ketika sesi soal balas tengahari tadi, Shahrol berkata carian Internet hanya mendedahkan lokasi aset yang didakwa, salah satunya dalam kawasan jadi rebutan antara Rusia dan Turkmenistan.

Saksi menambah yang beliau hanya mengetahui bahawa 90% aset PetroSaudi berada di Turkemenistan pada 2015 melalui laporan media.

Shafee bertanyakan kepadanya sama ada beliau merasakan usaha membuat pengesahan aset dibuat dengan baik.

Shahrol: Ia (carian internet) sudah cukup untuk saya kerana saya percayakan Casey dan PSI (PetroSaudi).

Shafee: Awak percaya sungguh sampai sanggup belanja AS$1 bilion duit 1MDB dan letakkannya dalam situasi berisiko?

Shahrol: Ya.

PetroSaudi sepatutnya melaburkan aset mereka bernilai AS$2.2 bilion dalam usaha sama dengan 1MDB ditandatangani pada 28 September 2009.

Dalam usaha sama bernilai AS$2.5 bilion itu, 1MDB akan menyuntik modal sebanyak AS$1 bilion dalam bentuk wang tunai untuk 40% pegangan. 

Daripada AS$1 bilion itu, AS$300 juta dimasukkan ke dalam akaun dipegang PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dibawah nama “JVCo”. Baki AS$700 juta pula dimasukkan ke dalam akaun Good Star, syarikat yang dikawal Low Taek Jho atau dalang 1MDB, Jho Low. 

Pendakwaan menuduh Najib bersubahat dengan Low untuk menipu dana pelaburan kekayaan berdaulat negara itu. 

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya sendiri dengan menyeleweng RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram jumlah sama. Sekiranya sabit bersalah, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun. 

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu diwakili kumpulan peguam diketuai Shafee. Manakala, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menerajui pihak pendakwaan. Kes didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan disambung Selasa depan.  – 24 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen