Nota setiakawan untuk warga Kampong Bharu


KAMPONG Bharu punyai nostalgia segar malar dalam hidup saya. Saya pernah menetap di Kampong Bharu sewaktu kecil. Pada masa itu pertengahan 1980-an, musim banjir di Kampong Baharu adalah satu fenomena yang menyeronokkan.

Gerai jualan, berbasikal dan bermain bersama budak-budak kampung adalah pengalaman hidup yang amat berharga. Setiap pagi Ahad sementara menunggu roti canai siap, pasti surat khabar Mingguan Malaysia saya baca dengan penuh minat.

Sewaktu kecil lagi pemerintah menghukum keluarga saya dengan kasta nilai kapitalis. Yang miskin dan sederhana dihukum tinggal di flat. Sampai bila-bila pun saya tidak akan bersetuju dan menentang konsep melonggokkan sekumpulan manusia yang dipanggil miskin dan sederhana tinggal di sebuah penjara kapitalis yang dipanggil flat ataupun pangsapuri mahupun namanya kondominium (kononnya) mewah.

Selama kurang lebih tiga tahun saya menginap di kuarters flat kakitangan Universiti Teknologi Malaysia di Kampong Bharu sehingga akhir 1980-an. Waktu itu juga saya sudah terasa bagaimana saya sekeluarga dihinakan menginap di flat yang kecil dalam keadaan ayah tidak punya pilihan lain.

Pada masa saya menetap di Kampong Bharu itulah pertama kali saya mengikut ayah menyertai demonstrasi besar-besaran yang entah apa pada waktu itu mungkin berkenaan isu Palestin yang seingat saya melibatkan Anwar Ibrahim.

Pada 2011 (jika tak silap) saya sekali lagi menyertai warga Kampong Bharu mendengar ceramah Anwar dalam kempen selamatkan Kampong Bharu yang hampir digadaikan oleh pemerintah Melayu pada masa itu.

Anwar dengan marah dan kecewa pada masa itu berkata tidak pernah dalam karier politik beliau mana-mana kaum Cina atau India memohon untuk membeli atau mengajukan projek di Kampong Bharu.

Tetapi kata beliau mengapa orang Melayu “haprak” ini sejak 1980-an berahi sangat untuk membeli tanah Kampong Bharu atas alasan pembangunan. Orang Melayu Kampong Bharu hina dan miskin sangatkah?

Berilah segala alasan apa pun, baik untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu, memodenkan kawasan Kampong Bharu atau lebih menarik dengan menamakannya sebagai pemegang saham, semua ini adalah istilah menjijikkan yang akan memenangkan pihak yang berkepentingan.

Pada hakikatnya industri perumahan hartanah di Malaysia mempunyai masalah lambakan unit dan terbengkalai yang akhirnya ditawarkan kepada warga asing dengan nilai duit mereka yang tidak sampai AS$150,000 pun.

Menilai kemiskinan berpaksikan timbang tara kapitalis amat menjengkelkan. Pelbagai istilah digembar-gemburkan supaya bunyinya seakan-akan pemerintah benar-benar prihatin terhadap permasalahan ini.

Yang terkini, penilaian jurang ekonomi rakyat bunyinya agak moden dan futuristik dan seperti nama baja tanaman pertanian.

Begitulah pada hemat saya, bagaimana kaum tamak kapitalis melihat golongan B40 dan M40 ini, seperti baja digunakan sehabis-habisnya untuk manfaat keuntungan golongan T20.

Selama 60 tahun misalnya pelbagai dasar, kongres, visi dan misi yang memberi harapan seolah-olah pemerintah komited untuk mengangkat maruah golongan miskin. Pada hujung tahun 2019 ini masih gagal malah jika ingin dibicarakan dengan lebih halus dan melibatkan maruah, jurang pendapatan orang-orang Melayu peratusannya terendah berbanding kaum-kaum lain.

Lebih menghinakan, jurangnya semakin besar.

Kemiskinan memang tidak boleh disantuni mengikut kaum, saya setuju benar. Juga pembasmian kemiskinan pula satu retorik dan propaganda yang sepatutnya dihentikan pada zaman moden ini.

Kemiskinan bukanlah penyakit atau kegagalan tetapi hanya suatu keberadaan yang akan ada sampai bila-bila agar manusia selalu menginsafi nafsu serakah tamak halobanya.

Mengukur tahap kemiskinan melalui pendapatan juga adalah satu formula jelik yang entah dari mana diguna pakai. Jurang kemiskinan sepatutnya diukur melalui simpanan, iaitu di hujung bulan berapa banyak baki simpanan seisi rumah yang tinggal untuk meneruskan kehidupan.

Pemerintah bukan saja perlu memikirkan bagaimana untuk menambahkan pendapatan rakyat miskin tetapi yang lebih penting bagaimana untuk mengurangkan kos perbelanjaan asas rakyat miskin agar mereka disantuni sebagai manusia bukan seperti baja dari najis haiwan.

Strategi meminggirkan Kampong Baharu ini jelas, kerana setiap pemerintah nampaknya hanya berminat untuk menawarkan nilai pembelian berbanding lebih berahi komited untuk menambah baik kemudahan dan infrastruktur yang sedia ada di Kampong Bharu.

Seolah-olah sesiapa saja yang menjadi pemerintah, bila hal Kampong Bharu terus menteri-menteri yang berkenaan terlihat persis ejen hartanah yang penuh tipu muslihat.

Melalui teknologi Big Data dan Artificial Intelligent (AI) misalannya, China bahkan peroleh analisis bagaimana emosi dan tumpuan para pelajar di sekolah-sekolah dan universiti pada setiap jam.

Segala data yang diperoleh siap dianalisis oleh teknologi ini dan memberi pelbagai solusi yang dapat menghindar dari segala bentuk musibah dan dalam masa yang sama meningkatkan tahap kecerdasan para pelajar.

Kepada mana-mana wakil rakyat yang kurang faham khutbah saya di perenggan atas ini, secara mudahnya begini, dahulu kala kalkulator membantu untuk mengira, komputer membantu untuk menyimpan data dan menganalisis, Internet mengoptimumkan penggunaan data untuk komunikasi.

Kini dengan teknologi AI otak-otak kalian akan dibantu untuk memantau, menganalisis dan malah sampai tahap dicadangkan solusinya.

Teknologi ini sangat penting kerana mungkin kalian sibuk memikirkan untuk membina legasi, mengukuhkan kuasa malah menambah pasangan hidup sampai buntu untuk memahami, memikir dan menghadirkan solusi sebenar kehendak rakyat.

Presiden Indonesia Joko Widodo faham benar kepentingan teknologi untuk masa depan. Beliau melantik menteri berusia 35 tahun, seorang pakar teknologi AI untuk mengubah landskap pendidikan dan budaya di Indonesia.

Dari dulu saya ingin benar golongan profesional dan cendekiawan yang memang terbukti kredibiliti dan berkaliber dilantik menjadi menteri di Malaysia tanpa perlu menjadi wakil rakyat dan terpalit dengan politik. Tetapi seperti biasa, Indonesia sering 10 tahun di hadapan kita.

Era ini mementingkan pemikiran dan berfikir kerana setelah itu banyak teknologi yang tersedia untuk merealisasikan idea tersebut.

Mengabaikan kepentingan teknologi inilah membawa musibah maruah Malaysia seperti penutupan penerbitan akhbar Bahasa Melayu tertua Utusan Melayu dan juga pemodenan Kampong Bharu mengikut acuan para kapitalis.

Baik, apa yang penduduk Kampong Bharu boleh ambil iktibar dari musibah para karyawan Utusan Melayu?

Kalian harus bangkit bersatu padu membangunkan tanah kalian sendiri agar tidak dieksploitasi oleh golongan jahat kapitalis. Kalian dengan segala teknologi yang ada seharusnya berada di pihak yang mencadangkan pelan pembangunan kepada pemerintah bukan pemerintah yang mencadangkan kepada kalian.

Kerana cara pemerintah menganalisis kehendak pembangunan Kampong Bharu sama seperti mereka menganalisis dan menyantuni golongan miskin di Malaysia iaitu melalui acuan mereka yang masih gagal sehingga sekarang.

Biarlah dihina seperti dipanggil kudis di kota metropolitan Kuala Lumpur. Tetapi Insya-Allah dengan perpaduan dan bantuan teknologi AI pemilik harta warisan Kampung Baru boleh bangkit dengan acuan kalian sendiri.

Kerana percayalah seindah dan semewah mana pun kondominium yang kononnya milik anda nanti tetap tidak boleh menandingi betapa hebatnya perasaan menghirup udara segara tatkala membuka tingkap rumah lalu melihat halaman rumah kampung milik kalian di Kampong Bharu yang kalian pertahankan.

Menetap di flat bukan budaya Melayu. Seni rumah dan halaman Melayu penuh falsafah. Ada halamannya, ada anjungnya, ada seni ukirannya dan ada serba serbi warisan tradisi orang Melayu di dalamnya.

Lebih istimewa Kampong Bharu kaya dengan sejarah nusantara kerana terdapat pelbagai suku Melayu menetap di Kampung Baru. Inilah yang sepatutnya setiap pemerintah Melayu martabatkan. Di Lembah Klang, setelah Kerinchi, Pantai Dalam, dan senyap-senyap Gombak, warisan kampung Melayu telah mula hilang.

Adakah suatu hal yang memalukan jika rumah-rumah kampung seni bina Melayu dijaga dan dipelihara? Ataupun salahkah jika warga Kampong Bharu diberi latihan dan dana khas untuk meningkatkan kemahiran hospitaliti dan program homestay secara profesional?

Ayuh bangkit penduduk asal dan waris Kampong Bharu! Kalian cerminan golongan tertindas oleh para penjahat kapitalis di Malaysia.

Kalian juga seperti benteng terakhir warisan kampung Melayu di Kuala Lumpur ini kerana tanah warisan hadiah daripada Sultan ini bukanlah tanah pelaburan tetapi tanah warisan dan maruah orang Melayu. – 28 Oktober, 2019.

* Luqman Hisyam ialah pembaca The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen