Putrajaya tawar saham RM150 sekaki persegi tanah Kampong Bharu


Mohd Farhan Darwis

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata pemilik akan kekal jadi tuan tanah selain dapat bayaran RM850 sekaki persegi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA mengemukakan harga tawaran baharu berjumlah RM1,000 sekaki persegi kepada pemilik tanah Kampong Bharu untuk mengambil alih tanah tersebut bagi pembangunan.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengumumkan, ia melibatkan tambahan RM150 sekaki persegi dalam bentuk saham syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dibentuk.

Tawaran saham itu adalah tambahan kepada harga tawaran RM850 sekaki persegi seperti diumumkan pada bulan lalu.

“Perincian struktur pegangan saham akan diperinci dan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani.

“Saham ini bermakna pemilik kekal atas tanah yang dibangunkan,” kata Khalid dalam sidang media di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Selain itu, pemilik yang membeli hartanah di kawasan pembangunan baharu itu juga akan diberikan diskaun sebanyak 15%, katanya.

Khalid juga berkata, tawaran asal bagi empat pilihan kepada pemilik tanah seperti diumumkannya pada 21 September lalu juga kekal.

Tawaran asal bagi empat pilihan kepada pemilik tanah seperti diumumkannya pada 21 September lalu juga kekal, kata Khalid Abdul Samad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Oktober, 2019.

Pilihan itu adalah menerima pulangan secara tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap, serta pulangan sebagai pemegang saham dalam SPV.

Khalid berkata, keputusan tawaran yang diberikan kepada 825 pemilik lot di Kampong Bharu itu dibuat selepas dua siri pertemuan bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tawaran ini adalah yang terakhir boleh diberikan kerajaan kepada pemilik.

“Saya kira ini tawaran akhir dan terbaik yang ingin dikemukakan kerajaan kepada semua pemilik tanah Kampong Bharu,” kata Khalid.

Selanjutnya selepas ini, kerajaan akan menemui pemilik setiap lot dan menjelaskan rancangan berkenaan yang bertujuan pembangunan Kampong Bharu itu kekal di tangan orang Melayu.

“Kalau jual harga tinggi Melayu tak mampu beli. Kita beli harga Melayu, kita jual harga Melayu juga,” katanya.

Katanya, seramai 1,371 daripada 2,500 borang maklum balas yang dikeluarkan ketika sesi pertemuan bersama penduduk pada September, sudahpun diterima.

Daripada jumlah itu, 96% sudah menyatakan persetujuan mereka, katanya yang menambah tarikh bagi penyerahan borang maklum balas itu adalah pada 30 November.

Pembangunan Kampong Bharu melibatkan keluasan tanah seluas 153.46 ekar itu antara lain melibatkan cadangan pembinaan menara mercu tanda 90 tingkat.

Pelan konsepnya menggariskan 10 komponen pembangunan antara lain merangkumi kawasan warisan, kediaman eksklusif, kawasan perdagangan dan institusi.

Sebanyak 50% atau 45,000 kediaman yang dibina dirangka sebagai kediaman mampu milik. – 24 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen