Jika siasatan selesai, lepaskan semua tahanan kes LTTE, kata peguam


Ramkarpal Singh mengulas kenyataan polis bahawa kertas siasatan 12 suspek kes LTTE sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2019.

KESEMUA 12 suspek yang ditahan kerana dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) perlu dibebaskan kerana kertas siasatan terhadap mereka sudah siap, kata peguam Ramkarpal Singh.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dalam satu kenyataan berkata mereka perlu dibebaskan dengan ikat jamin mengikut Kod Prosedur Jenayah.

Kesemua suspek itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membolehkan penahanan selama 28 hari.

Bagaimanapun Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kertas siasatan terhadap 12 tahanan itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Tiada keperluan untuk mereka ditahan lebih lama walaupun mereka boleh direman selama 28 hari di bawah Sosma,” kata Ramkarpal.

“Tiada keraguan bahawa mereka boleh didakwa atas kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dengan Sosma yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.

“Saya bagaimanapun, menggesa Peguam Negara untuk mendakwa mereka di bawah Kod Prosedur Jenayah dan menawarkan ikat jamin jika beliau berpandangan bahawa terdapat bukti yang mencukupi terhadap mereka.

“Tiada gunanya menafikan ikat jamin kerana pada peringkat ini, mereka hanya suspek dalam melakukan kesalahan.

“Malah, dua daripada mereka merupakan wakil rakyat dan mereka tidak dapat berkhidmat di kawasan masing-masing jika tidak dibenar ikat jamin,” katanya. – 27 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen