Akar umbi desak DAP putus hubungan dengan Hew, kata sumber


Khoo Gek San

Walaupun Hew Kuan Yau letak jawatan dalam Majlis Perniagaan Malaysia China semalam, akar umbi masih tidak boleh menerima sikap pemimpin parti yang mempertahankan bekas ahli DAP itu. – Gambar Facebook, 25 Oktober, 2019.

BANYAK pihak dari dalam dan luar DAP mahu parti itu memutuskan hubungan dengan Hew Kuan Yau yang sering mencetuskan kontroversi, kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kontroversi komik haram “Inisiatif Jalur dan Laluan Meraih Manfaat Bersama” bukan sahaja memberi kesan terhadap penerbitnya, Hew tetapi juga menyebabkan DAP berada dalam krisis.

Walaupun Hew meletak jawatan dalam Majlis Perniagaan Malaysia China (MCBC) semalam, akar umbi masih tidak boleh menerima sikap pemimpin parti yang mempertahankan bekas ahli DAP itu.

Antara pemimpin tersebut adalah Pengerusi MCBC Tan Kok Wai yang menolak peletakan jawatan Hew.

“Ramai yang mendesak Tan supaya meminta Hew letak jawatan ketika isu ini mula-mula timbul kerana bimbang akan menjejaskan hubungan Malaysia-China, dan menjejaskan peranan MCBC dalam hubungan dua hala,” kata sumber.

Sumber itu juga berkata ahli Parlimen Cheras itu pada mulanya mahu Hew menarik semula peletakan jawatan tetapi akhirnya terpaksa akur.

Akar umbi kini mendesak pemimpin DAP menjauhkan diri dari Hew yang terpalit kontroversi kerana ia memberi memberi imej buruk kepada parti.

Pada 2016 Hew keluar dari DAP selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai Laut China Selatan. Hew ketika itu berkata beliau mengambil keputusan itu kerana tidak mahu mendatangkan masalah kepada parti.

Bagaimanapun, Hew masih terus mendapat sokongan dari pemimpin parti.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada Mei tahun lalu, Tan dilantik sebagai pengerusi MCBC.

Pada Januari tahun ini, Tan melantik Hew sebagai ketua pegawai eksekutif MCBC. – 25 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.        
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen