BEKAS pemimpin DAP yang terlibat dengan penerbitan komik haram Inisiatif Jalur dan Laluan, Hew Kuan Yau meletak jawatan dalam Majlis Perniagaan Malaysia China (MCBC).
Hew berkata peletakan jawatan berkuatkuasa serta merta itu dikemukakannya kepada pengerusi MCBC, Tan Kok Wai yang juga pemimpin DAP.
“Keputusan saya muktamad,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kementerian Dalam Negeri semalam mewartakan pengharaman komik berkenaan kerana didapati mempromosi idealisme komunis dan sosialisme.
Buku yang didakwa sebagai propaganda politik itu juga didapati tidak sesuai diedarkan ke sekolah.
Hew yang merupakan kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia di Pulau Pinang kini disiasat polis mengikut Akta Hasutan. Turut disiasat adalah pelukis komik tersebut, Chong Po Ling.
Kementerian Pendidikan pada minggu lalu mengeluarkan larangan ke atas pengedaran komik tersebut ke sekolah.
Keputusan berkenaan dikecam oleh 43 pemimpin akar umbi DAP termasuk wakil rakyat parti itu yang berpendapat Menteri Pendidikan Maszlee Malik bersikap seperti menteri Umno.
Pemimpin berkenaan juga mendakwa Maszlee mengikut telunjuk bekas perdana menteri Najib Razak dalam isu berkenaan.
Dalam satu halaman buku itu menunjukkan Najib mentertawakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan dialog “Orang tua itu sedang memalukan (diri) sendiri”.
Turut ditampilkan adalah karikatur isteri Najib, Rosmah Mansor. Watak itu ditonjolkan bersama karikatur seekor kucing yang membuat komen tentang barangan kemas Rosmah.
Selain itu, komik berkenaan juga menampilkan karikatur ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikehendaki kerana peranannya dalam skandal 1MDB.
Komik berkenaan turut memaparkan ilustrasi mengaitkan orang Islam dengan kumpulan pengganas.
Hew minggu lalu mendedahkan buku berkenaan mendapat kelulusan kementerian pendidikan untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menulis kata pengantar buku berkenaan dan turut hadir ke majlis pelancarannya.
Semasa lawatan ke China pada April lalu, Dr Mahathir menyerahkan komik tersebut kepada Presiden Xi Jinping semasa pertemuan dua hala Malaysia-China.
Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun minggu lalu menafikan terlibat dalam penerbitan komik berkenaan dan menjelaskan ia bukan hadiah rasmi kepada Xi. – 24 Oktober, 2019.
Komen