Ahli politik Pakatan berhentilah berpolitik, kata Hishammuddin


Hishammudin Hussein yang juga ahli Parlimen Sembrong berkata ahli politik PH tidak sepatutnya rasa terancam dengan seseorang tanpa jawatan dan kuasa sepertinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

AHLI politik Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti mengaitkan dirinya dalam kancah permainan kuasa, kata Hishammudin Hussein.

Bekas naib presiden Umno itu berkata ahli PH tidak sepatutnya rasa terancam oleh seseorang yang tidak memegang sebarang jawatan atau kuasa.

“Pakatan Harapan tidak ada kerja lain ke? Ekonomi merudum, rakyat sengsara. Sibuk sangat hendak berpolitik sampai lupa tanggungjawab,” katanya di Facebook selepas laporan terbaru mengaitkannya dalam drama permainan kuasa di Putrajaya.

Bekas menteri pertahanan itu meluahkan rasa tidak senangnya berhubung laporan The Malaysian Insight yang mendakwa beliau berhasrat membawa 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri.

“Hari ini, mereka kata saya pengaruhi 30 ahli Parlimen pembangkang untuk masuk PH demi mempertahankan Tun Mahathir sebagai perdana menteri.

“Siapalah saya ni untuk pengaruh MP? Saya sebetulnya berasa cukup tersinggung, mereka wakil rakyat dan pemimpin, ini satu penghinaan terhadap kami semua,” katanya.

Bagaimanapun, enam wakil rakyat Umno hari ini mereka berpihak kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri hingga PRU15.

Mereka memetik isu ekonomi sebagai alasan mereka mahu pengerusi Bersatu itu kekal dan tidak digantikan oleh Anwar Ibrahim.

Pelan peralihan kuasa perdana menteri itu dipersetujui oleh pemimpin Pakatan Harapan dalam perjanjian yang dimeterai pada 7 Januari, 2018.

Enam wakil rakyat itu ialah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Ismail Mutalib (Maran), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata laporan Hishammuddin sedang berusaha menarik 30 Ahli Parlimen BN menyokong Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal hanya spekulasi. – 24 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen