Hishammuddin cuba bawa 30 ahli Parlimen BN masuk Pakatan, kata sumber


Beberapa sumber mendakwa Hishammuddin Hussein sedang berusaha menarik sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen Barisan Nasional masuk Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

BEKAS naib presiden Umno Hishammuddin Hussein sedang berusaha menarik sokongan sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri, kata beberapa sumber.

The Malaysian Insight difahamkan gerakan itu bermula sejak tahun lepas bertujuan menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim naik ke Putrajaya seperti yang dipersetujui dalam pelan peralihan kuasa perdana menteri, yang dimeterai oleh pemimpin Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018.

Sumber memberitahu, “kerajaan pintu belakang” tanpa Amanah dan DAP, yang disebut-sebut minggu lalu, boleh jadi kenyataan seawal bulan depan apabila Bersatu mempunyai kekuatan 60 kerusi Parlimen berbanding 28 yang ada sekarang.

“Masalah sekarang ini, Bersatu (Dr Mahathir) dan PKR (Anwar) masing-masing tidak cukup korum. 

“Kalau cukup korum (bentuk kerajaan), dia (Anwar) sudah buat undi tidak percaya kepada Dr Mahathir,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hishammuddin sebelum ini menafikan dakwaan beliau sedang berusaha membentuk kerajaan tanpa DAP dan Amanah selepas perkara itu dibangkitkan oleh Anwar ketika ditanya mengenai soal peralihan kuasa di Dewan Rakyat.

Tidak menghurai lanjut perkara itu, Anwar ketika itu meminta supaya ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain tidak tidak terpedaya dengan gerakan yang disifatkan sebagai “strategi karut”

Susulan itu, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) pada hari sama mengeluarkan kenyataan membidas tindakan Hishammuddin cuba menampilkan idea “nakal” itu.

Wujud satu gerakan yang didakwa cuba menggagalkan usaha peralihan kuasa Anwar Ibrahim menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

Seorang lagi sumber berkata gerakan Hishammuddin ini selari dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno menolak sebarang rundingan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan DAP.

Namun sumber menjelaskan, Hishammuddin tidak melaporkan kepada Majlis Tertinggi Umno gerakannya, malah tidak pula ada mandat untuk mewakili Umno mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak.

“Keputusan MKT sebelum ini adalah hanya presiden dibenarkan untuk berunding dan apa jua keputusan perlu dibuat secara en bloc. Hisham tidak jaga semua,” katanya.

Pada 24 Julai lalu, Majlis Tertinggi Umno mengambil ketetapan menolak untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana parti yang bersekongkol atau berkongsi kuasa politik dengan DAP.

Mesyuarat juga membuat keputusan bahawa hanya presiden yang diberikan kuasa untuk mengadakan perbincangan itu dan tidak ada mana-mana individu lain dalam parti layak untuk berbuat demikian.

Tindakan Hishammuddin pernah dibidas Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu parti mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin dan ahli parti yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti.

Hishammuddin Hussein dikatakan mahu jawatan setiausaha agung Barisan Nasional dan mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid Hamidi mengenainya bagi membolehkan beliau bergerak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

Sumber juga mendedahkan Hishammuddin hendak memegang jawatan setiausaha agung Barisan Nasional untuk dijadikan platform bagi membolehkan beliau bergerak secara rasmi mewakili parti.

“Sebab itu Hisham hendak sangat jawatan SUA BN. Dengan adanya jawatan itu, dia boleh panggil dan turun jumpa orang. Dia hendak platform itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi sumber yang rapat dengan dengan Pejabat Presiden Umno mengakui Zahid ada mengadakan perbincangan dengan Hishammuddin berhubung pelantikan setiausaha agung Barisan Nasional.

Bagaimanapun kata sumber, perbincangan tersebut bukan muktamad kerana Zahid perlu mendapat persetujuan daripada pengurusan parti supaya tidak mengulangi insiden pelantikan Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dibantah oleh MCA dan MIC.

“Betul Zahid ada menawarkan jawatan SUA BN kepada Hisham tetapi tawaran itu belum sah lagi. Tidak bolehlah lepas itu kata Zahid tipu tidak tunai janji.

“Zahid perlu bincang dahulu dengan pengurusan parti. Walaupun itu keputusan prerogatif presiden, Zahid tidak mahu apa yang jadi dalam pelantikan Nazri sebelum ini berulang.

“Zahid lantik Nazri dulu tanpa merujuk kepada pengurusan parti. Dalam hal ini (melantik Hishammuddin), mesyuarat pengurusan parti tidak setuju,” katanya.

Pada Mac lalu, Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional memutuskan pelantikan Nazri tidak sah kerana pelantikan yang dibuat oleh Zahid itu tidak pernah dibawa ke dalam mesyuarat Barisan Nasional. – 24 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen