Tiada 'penyelewengan' dapatkan pinjaman SRC International, kata peguam bela


Bede Hong Timothy Achariam

Dalam perbicaraan SRC International bekas perdana menteri Najib Razak berdepan satu pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 selain enam lagi pertuduhan jenayah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Oktober, 2019.

PEGUAM bela Najib Razak hari ini berhujah bahawa bukti yang dihantar oleh pendakwa gagal menyokong pertuduhan bekas perdana menteri menyalahgunakan kuasa untuk memeri pinjaman RM4 bilion kepada SRC International pada 2011 dan 2012.

Dalam perbicaraan SRC International Najib, yang memasuki peringkat penghujahan, peguam bela turut berhujah bahawa tiada “aturan penyelewengan” di pihak tertuduh dalam keputusan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk menyediakan pinjaman berjumlah RM4 bilion kepada SRC International.

Peguam bela memberitahu mahkamah bahawa bukti yang diberikan gagal untuk menetapkan bahawa tindakan bekas perdana menteri membawa kepada keputusan untuk memberikan jaminan kerajaan kepada SRC International sebagai sebahagian daripada “aturan penyelewengan”.

Pada penghujahan pagi ini, yang dibuat oleh peguam bela Farhan Read dan Harvinderjit berkata, jaminan kerajaan bukan disebabkan penglibatan Najib.

Bukti gagal untuk menyokong “kesimpulan yang tidak dapat dielakkan bahawa terdapat pertalian antara perbuatan yang dilakukan dan pembayaran”, kata Farhan.

Bukti yang diambil secara kumulatif tidak menyokong kesimpulan bahawa DSN (Datuk Seri Najib) secara korup menerima RM42 juta yang telah dimasukkan ke dalam akaunnya.”

Peguam bela berkata, jaminan kerajaan diberikan kerana syarat yang dikenakan oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP dan Panel Pelaburan KWAP.

Tambah mereka, turut terlibat dalam membuat keputusan itu adalah Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan & Aktuari, ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu dan kabinet sendiri.

“Apa yang penting ialah Najib bertindak demi kepentingan negara, dengan niat yang terbaik,” kata Harvinderjit, sambil menambah bahawa ini dilakukan dalam kelulusan pinjaman KWAP dan mesyuarat kabinet.

Najib berdepan satu pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, sebagai tambahan kepada enam lagi pertuduhan jenayah. Sekiranya didapati bersalah, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Pihak pendakwaan menuduh Najib menyalahgunakan kuasa dalam mesyuarat kabinet pada 17 Ogos, 2011 dan 8 Februari, 2012, bagi pemberian jaminan kerajaan kepada SRC International untuk membuat pinjaman daripada KWAP.

Najib secara rasuah bertujuan mendapatkan kekayaan untuk dirinya sendiri sebanyak RM42 juta dalam proses itu, kata pendakwa raya.

Najib diwakili pasukan peguam yang diketuai oeh Muhammad Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen