KEMENTERIAN Sumber Manusia menjelaskan hari ini bahawa tiada keperluan untuk mendapatkan persetujuan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bagi cadangan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177).
Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkata sebagaimana yang digariskan Konvensyen ILO No. 144 (C144) - Tripartite Consultation (International Labour Standards) Convention, 1976 bahawa terdapat keperluan untuk mengadakan konsultasi dengan perwakilan majikan dan pekerja bagi perkara berkaitan aktiviti-aktiviti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Konvensyen ini hanya menekankan keperluan untuk mengadakan konsultasi dan bukannya mendapatkan persetujuan sebagaimana yang didakwa oleh MTUC dan MEF.
“Kementerian juga telah mengadakan sesi konsultasi bukan sahaja dengan MTUC dan MEF, malah dengan pihak berkepentingan yang lain termasuk badan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara yang tidak terhad kepada aktiviti-aktiviti ILO sahaja,” katanya.
Malah katanya, Perlembagaan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) menyatakan perkara yang sama sebagaimana C144 iaitu keperluan diadakan konsultasi dan bukannya persetujuan.
“Kementerian ingin memberi jaminan kepada semua pihak termasuk pekerja bahawa pindaan kepada akta ini buat pertama kalinya adalah merupakan pindaan secara holistik bagi memastikan akta ini menuju ke arah pematuhan standard perburuhan antarabangsa.
“Ini adalah sejajar dengan janji kerajaan Pakatan Harapan untuk meningkatkan dan menambah baik perlindungan terhadap pekerja serta mengekalkan daya saing majikan,” katanya. – Bernama, 20 Oktober, 2019.
Komen