Didakwa terlibat LTTE, Kulasegaran serah polis siasat


Kulasegaran berkata pihak polis perlu mendakwa sesiapa yang terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE di mahkamah sekiranya mempunyai fakta dan bukti yang kukuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2019.

MENTERI Sumber Manusia M. Kulasegaran menyerahkan kepada siasatan pihak berhubung tuduhan bahawa dirinya terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Beliau berkata tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah semata-mata berdasarkan gambar yang tersebar di laman media sosial tanpa sumber yang diketahui.

“Tidak adil membuat tuduhan terhadap seseorang itu terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas hanya dengan gambar yang tersebar di media sosial.

“Saya ada banyak gambar tersebar. Apa yang saya perlu cakap?

“Kalau pembuat gambar itu boleh tampil membuat dakwaan kepada saya, saya akan jawab kepada dia, jadi jangan mudah percaya dengan apa yang tersebar dalam aplikasi Whatsapp atau internet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Prihatin JobsMalaysia 2019 di Ipoh hari ini. 

Ditanya tentang pendiriannya mengenai LTTE, Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi DAP memaklumkan beliau hanya bersimpati terhadap mangsa berikutan perkara yang berlaku di negara lain adalah urusan dalaman mereka.

Sebelum ini, tular satu gambar yang didakwa kononnya Kulasegaran bersama pemimpin kanan LTTE.

Polis baru-baru ini dilaporkan telah menahan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Negeri Sembilan dan Melaka berhubung pembabitan mereka dalam menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Kulasegaran berkata pihak polis perlu mendakwa sesiapa yang terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE di mahkamah sekiranya mempunyai fakta dan bukti yang kukuh.

Dalam perkembangan lain, Kulasegaran berkata kesesakan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka akan dapat diatasi menerusi inisiatif pembinaan pusat rehabilitasi yang baharu di Perak.

Katanya beberapa lokasi di seluruh Perak telah dikenal pasti untuk dijadikan lokasi hospital dan pusat rehabilitasi berkenaan.

“Pusat baharu itu akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan pusat rehabilitasi bernilai RM500 juta akan dibina di Perak. – Bernama, 12 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen