Pengundi mastautin luar jadi kunci Pakatan di PRK Tanjung Piai


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

PENGUNDI bermastautin di luar kawasan adalah kunci Pakatan Harapan untuk berdepan cabaran besar mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai, kata salah seorang pencatur strategi pakatan pemerintah itu.

Liew Chin Tong daripada DAP berkata pengundi yang bekerja dan tinggal di luar kawasan itu adalah kunci kejayaan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Beliau menganggarkan lebih separuh daripada 53,000 pengundi Tanjung Piai adalah mereka yang tinggal dan bekerja di luar kawasan dan perlu pulang untuk mengundi.

“Pakatan menang besar di Johor, 18 daripada 26 kerusi Parlimen (menang) kerana mereka yang bermaustatin di Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Singapura pulang ke kampung dan mengundi supaya tumbangkan Najib,” katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

“Kalau tak ramai pengundi luar balik mengundi, memang Pakatan akan berdepan cabaran yang besar,” kata Liew yang merupakan ketua Biro Pendidikan Politik DAP.

“Saya rasa Pakatan Harapan (akan) memasuki pilihan raya kecil ini sebagai ‘underdog’ (bukan pilihan). Bukan mudah.”

Profile pengundi Tanjung Piai hampir serupa dengan Cameron Highlands. PH kalah pada PRK Cameron Highlands pada Januari lepas. Kedua-dua kerusi boleh dianggap sebagai kerusi separuh bandar.

Barisan Nasional berjaya mengekalkan Cameron Highlands dengan undi 3,238, majoriti lebih tinggi berbanding yang diterima pada PRU14 lalu. 68% pengundi keluar mengundi, kadar yang banyak dipengaruhi ramai pengundi luar tidak balik mengundi.

“Situasi lebih kurang macam Cameron Highlands, biasanya kerajaan lama lebih erat dengan komuniti tempatan kerana ada network dia di kampung, masjid dan surau.

“Memang bukan mudah utk Pakatan Harapan untuk menghadapi PRK dlm konteks separuh bandar,” kata Liew menjelaskan yang sentimen semasa juga tidak memberi kelebihan kepada PH.

Liew Chin Tong bagaimanapun merasakan Pakatan Harapan masih ada peluang menang PRK Tanjung Piai dengan syarat mereka bekerja keras.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2019.

Pada PRU14, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafiq (Bersatu-PH) menewaskan Wee Jeck Seng (MCA-BN) yang merupakan penyandang kerusi itu selama dua penggal, dengan marjin hanya 524 undi. Calon PAS Nordin Othman pula mendapat 2,962 undi.

Situasi itu memberi gambaran yang gabungan undi diterima PAS dan BN boleh menumpaskan calon PH.

PAS dan Umno yang menerajui BN sudah memeterai perjanjian kerjasama politik secara rasmi pada September lalu. Sebelum ini, mereka bekerjasama di PRK Cameron Highlands dan Rantau yang menyaksikan kemenangan BN.

Penganalisis politik berpandangan pelbagai isu seperti khat Jawi dan Dr Zakir Naik akan menghakis sokongan penyokong utama PH- pengundi bukan Melayu Islam.

Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi terdiri daripada 57% (Melayu), 42% (Cina) dan selebihnya pengundi India.

Liew, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan PH akan terus dapat mempertahankan Tanjung Piai.

“Ada kemungkinan menang? Memang ada kemungkinan menang kerana sekarang Pakatan Harapan kerajaan, lain daripada keadaan dulu. Tapi, saya rasa kami mesti bekerja sungguh-sungguh dan bersedia bahawa ini pertarungan yang agak sukar.” – 20 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen