Okay untuk 'Upin & Ipin', tidak untuk 'M for Malaysia'


Daniyal Kadir

SABAN waktu kita melihat Oscar menjadi tumpuan penting kepada segelintir kelompok dalam industri filem. Menghantar filem ke Academy Award kadangkala dilihat matlamat terpenting bagi golongan seperti ini.

Apabila melihat secara umum pun kita pasti akan menjumpai keluhan sesetengah orang, “bilalah agaknya filem Malaysia nak bertanding di Oscar”.

Tidak salah untuk memasuki atau cuba bertanding di dalam kategori Filem Antarabangsa Terbaik di Academy Award ini. Namun selain daripada memikirkan untuk menjejak kaki ke Oscar, ada lebih banyak kerja lain yang perlu kita lakukan.

Kita sebenarnya selalu dikelabukan dengan permainan glamor Oscar dan terikut-ikut dengan budaya Hollywood sehingga melihatkan Oscar sebagai matlamat akhir dan paling agung untuk kita menempatkan filem sendiri.

Kita kadangkala terlupa dengan festival lebih penting seperti Cannes, Venice, Berlin, Toronto, Sundance, Tribeca, Austin, Busan dan Rotterdam.

Di arus perdana, festival lebih besar dan penting ini jarang diperkatakan walaupun sebenarnya ramai pembikin filem bebas dari Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam festival ini.

Namun, mereka tidak diraikan dengan sewajarnya, memandangkan kita lebih sukakan warna-warna glamor Oscar.

Sebelum memikirkan lebih jauh tentang Oscar, kita harus memikirkan tentang kesediaan kita membikin filem yang baik dan bermutu tinggi. Ini harus menjadi sesuatu hal terpenting yang wajar dibincangkan.

Adakah filem yang kita hantar untuk penilaian bagi pencalonan Oscar, khasnya bagi kategori Filem Antarabangsa Terbaik mempunyai kualiti yang boleh dibanggakan?

Tahun ini kita menghantar “M For Malaysia” ke untuk penilaian bagi pencalonan kategori Filem Antarabangsa Terbaik di Oscar 2020. Adakah M For Malaysia benar-benar bersedia untuk dihantar?

Secara umumnya filem dokumentari ini boleh dianggap sebagai antara dokumentari yang baik, lengkap dalam sifatnya sebagai sebuah dokumentari, dilaksanakan melalui kajian dan penelitian yang agak menyeluruh, dengan pemaparan beberapa babak yang unik dan bersifat rahsia.

Misalnya seperti saat-saat keputusan pilihan raya di bilik perang Pakatan Harapan (PH) dan penghujungnya yang agak emosional dengan babak angkat sumpah Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia yang terkini.

Namun filem ini memiliki kesukaran untuk memberikan saingan sengit, berasaskan kepada bentuknya yang agak mudah dan cuba menghangatkan kemenangan PH sahaja.

Percubaannya untuk bersikap terbuka juga hanya bergerak dalam sembunyi-sembunyi misalnya pergesaran Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim yang tidak ditekankan dengan mendalam, sedangkan ia merupakan babak terpenting dalam menggerakkan kesedaran rakyat Malaysia.

Pada satu sisi lain, ia sebuah dokumentari untuk mengangkat ketokohan Dr Mahathir, bagaimana beliau dilihat sentiasa penting dan relevan dalam arena politik negara.

Tiada sesuatu yang segar dan berani dalam filem ini dan agak sukar untuk melihat M For Malaysia mampu memberikan saingan hebat kepada filem antarabangsa lain.

Selain berterusan memikirkan soal mahu menghantar filem ke Oscar, kita sewajarnya memberi tumpuan menyeluruh untuk membangunkan audiens dan ekosistem perfileman yang lebih bermutu.

Filem tempatan berjiwa besar dengan modal yang kecil masih lagi kelihatan tercungap-cungap untuk kekal ditayangkan di pawagam.

Ini dapat dibuktikan bagaimana “One Two Jaga”, “Jagat” dan yang terbaru “Suatu Ketika” terpaksa melalui keperitan untuk kekal relevan di pawagam dalam tanah air sendiri.

Walaupun filem ini semuanya memiliki nilai besar dalam mengangkat sinema negara.

Ekosistem yang selesa wajar diberikan perhatian terlebih dahulu, sebelum kita berlumba-lumba mahu merebut Oscar, ketika sebenarnya kita masih tidak mampu membuatkan filem tempatan berdiri megah di arena sendiri.

Berbeza dengan negara yang sudah kuat dengan identiti sinema masing-masing, tidak hairan untuk mereka menerobos festival besar dan merangkul pelbagai kemenangan.

Kita masih di tahap membangunkan minda dan cerita, kita tidak akan pergi jauh jika hanya melihat Oscar sahaja.

Oscar sebenarnya akan datang kemudian setelah kita berjaya menghasilkan satu ekosistem perfileman cemerlang yang seterusnya menjurus kepada produk tayangan berkualiti tinggi.

Janganlah semata-mata perlu menghantar filem ke Oscar kita hanya memilih tanpa memikirkan sejauh-jauhnya. Ukur badan harus di badan sendiri.

Namun, usaha menghantar “Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal” untuk pemilihan bagi pencalonan Oscar bagi kategori Filem Animasi Terbaik boleh disifatkan sebagai langkah awal yang baik dan menarik kerana filem ini sudah menjadi penanda aras kepada filem animasi tempatan, walaupun ia masih berlegar kepada dunia kanak-kanak, namun jalinan elemen tempatan dan nilai universal menjadikan filem ini agak relevan untuk diperkatakan.

Tambahan pula Upin Ipin menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa festival antarabangsa yang disertai.

Kita mengharapkan di masa akan datang, usaha menghantar filem tempatan ke Oscar tidaklah perlu dijadikan sebagai agenda wajib saban tahun, namun apa yang paling penting ialah membangunkan kandungan filem berkualiti dan membentuk audiens lebih baik adalah agenda yang sewajarnya diutamakan.

Oscar atau tidak, akan datang dengan sendirinya selepas kita mempunyai sinema yang dihargai di tanah sendiri. – 19 Oktober, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen