TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata tiada sebab untuk beliau keluar PKR dan akan kekal bersama parti melainkan ada “seseorang” yang memecatnya.
Azmin berkata demikian ketika menjawab dakwaan beliau mahu menubuhkan parti baru selepas hubungannya dengab Anwar Ibrahim tegang susulan skandal video seks.
“Saya dipilih dan diberi mandat besar oleh ahli PKR. Bukan saya sahaja, tetapi seluruh pasukan.
“Kita peroleh dua pertiga majoriti pada pilihan raya umum lalu. Jadi tiada sebab untuk saya meninggalkan parti, melainkan ada yang cemburu dan mahu tendang saya keluar dari parti,” katanya yang juga menteri hal ehwal ekonomi di lobi Parlimen hari ini.
Azmin ditanya mengenai dakwaan pengasas PKR Syed Husin Ali yang beliau merancang untuk menubuhkan parti baharu ketika di puncak kejatuhan selepas skandal video seks yang didakwa melibatkan dirinya.
Azmin dinamakan sebagai salah seorang lelaki dalam video seks, namun beliau menafikan dan mendakwa ia merupakan rancangan untuk memusnahkan karier politiknya.
Syed Husin juga berkata, Azmin sebelum itu merancang untuk menyertai Bersatu atau bekas parti komponen Barisan Nasional, Gerakan namun ditolak oleh beberapa ahli dalam kumpulannya dalam PKR.
Susulan kegagalan itu, Syed Husin mendakwa Azmin mula terfikir untuk tubuhkan parti baharu.
“Rancangan ketiga ialah untum menubuhkan parti sendiri dan pada satu tahap “Azmin serius tentangnya”.
“Ramai di kalangan kami berkata jika mereka tubuh parti baru, itulah penamatnya, pengakhiran kepada kemnya,” kata Syed Husin. – 15 Oktober, 2019.
Komen