Azmin mahu tubuh parti baharu selepas skandal video seks, dedah Syed Husin


TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merancang untuk menubuhkan parti baharu ketika di puncak kejatuhan selepas skandal video seks yang didakwa melibatkan dirinya, kata bekas pemimpin PKR Syed Husin Ali.

Veteran parti itu yang merupakan salah seorang pengasasnya, dalam satu wawancara bersama Malaysiakini berkata, beliau mempunyai “maklumat peribadi” berhubung rancangan Azmin itu.

Ini berikutan pergeseran antara beliau dan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang kian meruncing susulan penyebaran video seks, yang Azmin sendiri nafi terbabit. 

Video seks dua lelaki itu tersebar pada Jun dan Azmin dinamakan sebagai salah seorang daripadanya oleh bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz. Azmin berkata ia hanyalah cubaan untuk memusnahkan karier politiknya.

Syed Husin juga berkata, Azmin sebelum itu merancang untuk menyertai Bersatu namun dalam kumpulannya ada beberapa orang bukan Melayu dan mereka tidak akan ada tempat dalam Bersatu.

Pilihan kedua adalah menyertai Gerakan yang merupakan bekas parti komponen Barisan Nasional, dan ada usaha untuk mempertimbangkannya. Rancangan itu bagaimanapun ditolak oleh beberapa ahli dalam kem Azmin. 

Selepas kedua-dua rancangan itu gagal, Syed Husin berkata, menteri hal ehwal ekonomi itu mula terfikir untuk tubuhkan parti baharu. 

“Rancangan ketiga ialah untum menubuhkan parti sendiri dan pada satu tahap “Azmin serius tentangnya”.

“Ramai di kalangan kami berkata jika mereka tubuh parti baru, itulah penamatnya, pengakhiran kepada kemnya,” Syed Husin dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini.

Portal berita berkenaan turut menghubungi orang kuat Azmin, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, yang menafikan sebarang rancangan untuk tubuhkan parti baharu.

Zuraida berkata ia tidak pernah dibincangkan dan pihaknya akan kekal dalam PKR untuk mengukuhkannya.

Pertelingkahan antara Azmin dan Anwar bermula selepas penyebaran klip video seks ke satu kumpulan sembang yang turut disertai oleh wartawan dan ahli politik. 

Pada satu tahap, Anwar meminta Azmin meletakkan jawatan sekiranya benar beliau merupakan individu dalam video seks berkenaan, yang kemudiannya dijawab oleh Azmin agar presiden partinya itu “lihat cermin terlebih dahulu”, yang merujuk kepada kisah silam Anwar yang mana beliau pernah didakwa kerana meliwat. 

Azmin juga berkata beliau tahu “dalang” di sebalik video seks manakala polis menerusi siasatannya mendapati pemimpin parti politik yang menjadi dalang di sebalik penyebaran video itu.

Kenyataan terakhir polis berhubung perkara itu adalah analisis forensik yang dijalankan mendapati video berkenaan tulen namun tidak dapat mengenal pasti dua lelaki dalam rakaman tersebut.

Bagaimanapun, polis selepas itu berkata mereka sedang mengkaji hasil analisis daripada syarikat forensik yang berpangkalan di UK yang dibuat oleh Ahli Majlis Teertinggi Umno Lokman Noor Adam. 

Syed Husin turut ,e,beritahu Malaysiakini bahawa Azmin dan kemnya juga merancang untuk membuat provokasi dengan tidak menghadiri mesyuarat parti, agar mereka dipecat dan akan dilihat sebagai “wira”.

Azmin dan Zuirada tidak hadir mesyuarat mingguan biro politik dan mesyuarat bulanan majlis pimpinan pusat PKR pada tahun ini menarik peringatan umum dari Anwar dan setiausaha agung Saifuddin Nasution.

“Mereka mahu dipecat (tetapi kenapa kami akan berbuat demikian?). Situasi sekarang seperti Catch-22 kerana mereka tidak dibuang,” katanya.

Menurutnya Anwar juga bertindak untuk menunjukkan sokongan terhadapnya dengan menganjurkan temu rapat di Port Dickson yang mana majoriti ketua cabang menyatakan sokongan mereka terhadapnya. 

Syed Husin berkata beliau percaya Azmin dan Zuraida “dimiliki minoriti kecil” dalam parti itu sekarang. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen