EPISOD penutupan Utusan Melayu Malaysia Berhad tidak harus dibiarkan menjadi ikutan syarikat lain yang mungkin memilih jalan untuk gulung tikar dan menghentikan operasi semata-mata untuk menyelesaikan masalah kewangan, kata badan bekas kakitangannya.
Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) mendesak Kementerian Sumber Manusia meneliti kemungkinan Utusan melanggar undang-undang apabila menutup operasi dan memberhentikan lebih 800 pekerjanya minggu lalu.
“Kami khuatir ia akan menjadi precedent (panduan) bagi syarikat lain mencari jalan mudah menyelesaikan masalah mereka.
“Tindakan pemberhentian operasi perniagaan syarikat cara ini akan menyelamatkan puluhan juta ringgit bagi pemilik baharu yang tidak perlu melalui proses VSS (skim pemisahan sukarela) atau MSS (skim pemisahan bersama),” kata presidennya Khalid Yunus dalam satu sidang media di Ampang, hari ini.
Sidang media itu diadakan untuk menyatakan sikap bekas kakitangan Utusan terhadap tindakan syarikat gulung tikar dan menghentikan operasi pada 9 Oktober lepas.
Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam satu pekeliling dalaman pada tarikh itu memberitahu kakitangan Utusan bahawa syarikat terpaksa ditutup setelah segala usaha memulihkan masalah kewangannya tidak berhasil.
Badan veteran Utusan juga meminta UHY Advisory (KL) Sdn Bhd, firma yang dilantik sebagai pelikuidasi sementara untuk menguruskan harta dan lialiti Utusan, bertindak telus membenarkan peguam bagi pihak kakitangan memantau penjualan aset untuk tujuan membayar hutang.
“Ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan berlaku,” kata Khalid, membaca kenyataan rasmi KVUM.
Sementara itu, Khalid yakin Utusan masih ada harta yang banyak, yang melebihi tanggungannya, namun hairan kenapa pihak yang menguruskannya memilih untuk menyelamatkan produk iaitu akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo tetapi mengorbankan syarikatnya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Johan Jaaffar mempersoalkan tindakan Aziz yang mengambil alih Utusan ketika tahu kedudukan kewangan syarikat dan tidak menggunakan kemahiran korporatnya untuk memulihkan syarikat.
“Tentulah orang yang ambil alih orang yang pandai dalam dunia korporat…terbabit dengan pembelian syarikat, syarikat yang tak maju boleh jadi untung, mengapa tak guna model sama untuk tujuan ini?
“Apa yang berlaku pada Utusan boleh berlaku pada syarikat surat khabar lain,” katanya.
Utusan melepaskan permit penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo serta edisi mingguannya kepada anak syarikat milik penuh Utusan, Dilof Sdn Bhd pada awal September.
Dua hari sebelum mengumumkan gulung tikar, Utusan melepaskan 70% pegangan dalam Dilof kepada oleh Aurora Mulia, yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.
Nama Dilof pada hari sama ditukar kepada Media Mulia Sdn Bhd, lapor The Edge Marktes.
Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa pihak yang melihat ia usaha untuk menguasai media di Malaysia, ketika Syed Mokhtar juga dilaporkan meningkatkan pegangannya dalam Media Prima Sdn Bhd.
Ditanya mengenai kebebasan media susulan perkembangan terbaru ini, Khalid berkata: “Kalau kerajaan kata bebas, bebaslah. Kamu semua tahu cerita, tidak perlu tanya saya.” – 14 Oktober, 2019.
Komen