KDN pertimbang kedudukan Zamihan dengan serius


Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed berkata proses pemberhentian bagi kakitangan kerajaan tidak mudah kerana ia melibatkan banyak prosuder. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2017.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan dengan serius kedudukan Zamihan Mat Zin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, kata timbalan menterinya, Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan berkata, KDN masih mempertimbangkan kedudukan Zamihan kerana presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu bukan berasal daripada kementerian berkenaan.

“Kita masih mempertimbangkan kedudukan dia kerana proses memberhentikan pegawai kerajaan ini bukan senang, ada banyak prosedur,” kata ahli Parlimen Pulai itu seperti dilaporkan portal Sinar Online.

Zamihan merupakan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipinjamkan ke KDN yang kini ditempatkan di Penjara Kajang.

Pendakwah itu disiasat mengikut Akta Hasutan dan ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi Muslim di negeri itu dalam ceramah di sebuah masjid di Selangor.

Susulan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melucutkan tauliah mengajar Zamihan.

Semalam, Zamihan yang berasal dari Kelantan itu akur dengan pelucutan tauliah mengajar di Selangor dan memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan ceramah agama yang disampaikannya mengandungi perkataan rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja. – 18 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen