Zamihan akur, mohon maaf kepada Sultan Selangor


Pendakwah Zamihan Mat Zain dalam satu kenyataan media hari ini turut menyeru semua pihak supaya menghentikan sikap mengadu domba dan melaga-lagakan umat Islam.– Gambar YouTube, 17 Oktober, 2017.

PENDAKWAH Zamihan Mat Zain akur dengan pelucutan tauliah mengajar di Selangor dan memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan ceramah agama yang disampaikannya yang mengandungi perkataan rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

“Saya sedia maklum akan keputusan pelucutan tauliah mengajar agama saya di Selangor seperti mana titah Tuanku Sultan. Sebagai rakyat biasa yang menjungjung tinggi institusi diraja, saya akur dan patuh kepada keputusan dan titah Tuanku Sultan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, penceramah kontroversi itu turut menyeru semua pihak supaya menghentikan sikap mengadu domba dan melaga-lagakan umat Islam dan sebaliknya menumpukan kepada membanteras ancaman dari pihak yang dikatakan cuba “merosakkan” Islam dari dalam seperti golongan tertentu.

“Saya hanya mencurahkan khidmat untuk agama dan ummah, sekiranya khidmat saya dirasakan sudah tidak diperlukan, saya menghormati keputusan tersebut. Bagaimanapun, saya akan terus berkhidmat dengan cara dan di tempat yang sesuai. Sesungguhnya perjuangan dakwah Islam tidak pernah terhenti sehingga hari kiamat.

“Oleh itu saya menyeru semua pihak supaya menghentikan adu domba dan sikap ingin melaka-lagakan sesama umat Islam dan ada baiknya kita semua fokus kepada menolak ancaman dan tipu daya golongan yang cuba merosakkan Islam dari dalam seperti Wahhabi, Syiah, liberalisma agama dan lain-lain ajaran sesat,” katanya.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu berkata golongan tersebut sememangnya suka melihat umat Islam bercakaran sesama sendiri dan berpecah.

Sultan Selangor semalam mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar Zamihan di negeri itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor, arahan itu dikeluarkan mengikut peruntukan Peraturan 17, Peraturan-peraturan Tauliah (Selangor) 2008.

Keahlian Zamihan sebagai Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor juga dibatalkan.

“Begitu juga sekali lagi saya merasakan sembah memohon maaf terhadap Tuanku Sultan, sekiranya baginda terguris hati dengan tutur kata saya ketika menyampaikan ceramah agama di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jamaah tempoh hari.

“Sesunguhnya saya selaku rakyat biasa tiada niat untuk menghina institusi diraja melainkan hanya sekadar menyampaikan dakwah akidah ahli sunnah dan mengulas ketentuan hukum fiqh menurut Islam,” katanya Zamihan.

Pada 13 Oktober, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan larangan sementara terhadap Zamihan daripada berceramah di semua masjid dan surau di negeri itu.

Pendakwah itu disiasat mengikut Akta Hasutan dan ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi Muslim di negeri itu.

Zamihan ditahan pada Rabu lalu dan direman selama dua hari selepas satu video kenyataannya yang didakwa mengkritik Sultan Johor mengenai isu “kedai dobi untuk orang Islam” tersebar di media sosial.

Beliau dibebaskan daripada tahanan reman pada Sabtu lalu. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen